Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Larut: Kerajaan semalam meluluskan Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (Tris) bagi diguna pakai secara berskala besar terhadap pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan perkara itu dan berkata, susulan itu pemegang kad UNHCR di negara ini dikehendaki mendaftar semula dengan Tris.

"Semalam, jemaah menteri sudah meluluskan program Tris, bertujuan memastikan segala data pelarian yang mempunyai kad UNHCR didaftarkan supaya kita tahu berapa ramai sebenarnya pelarian sah dalam negara," katanya dalam sidang media program Kita Demi Negara Zon Utara di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan bagi menjalankan Tris diberikan kepada sebuah syarikat yang antara lain bertujuan memastikan segala data pelarian terbabit, khususnya mengenai lokaliti penempatan diketahui.

"Sebenarnya program Tris ini sudah kita buat melalui beberapa trial (percubaan) sejak beberapa tahun lalu namun baru semalam kelulusan diperoleh bagi melaksanakannya secara besar-besaran," katanya.

Tris adalah platform mengumpul segala maklumat pelarian dan pencari suaka bagi bantu kerajaan memantau dan menjejaki semua pelarian yang menetap di Malaysia.

Semua maklumat yang didaftar akan diselaraskan dengan pangkalan data kerajaan Malaysia antaranya seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semua pelarian yang berdaftar di bawah Tris akan diberi kad pengenalan Khas (MyRC) yang mengandungi data peribadi dan juga disahkan kerajaan.

Hamzah Zainuddin ketika sesi menyampaikan surat keputusan permohonan kewarganegaraan kepada seorang pemohon yang hadir dalam program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka Batu Kurau, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Hamzah Zainuddin ketika sesi menyampaikan surat keputusan permohonan kewarganegaraan kepada seorang pemohon yang hadir dalam program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka Batu Kurau, di sini, hari ini. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 3:27 PM