SHAHIDAN Kassim
SHAHIDAN Kassim
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang memberi status pelarian khas kepada pelarian etnik Rohingya berbanding pelarian lain di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelarian etnik Rohingya yang datang ke Malaysia diberikan kad pelarian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi agensinya, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, pemegang kad pelarian UNHCR menerima keistimewaan di negara yang mereka mendapat perlindungan dan diberikan tempat tinggal serta makanan.

Katanya, walaupun pelarian etnik Rohingya di Malaysia tidak diberi status pelarian khas, mereka dibenarkan tinggal di negara ini dan boleh bekerja mendapatkan pendapatan.

“Setakat ini kerajaan tidak bercadang ke arah itu, walaupun begitu layanan Malaysia terhadap mereka adalah baik dan istimewa.

“Pertamanya mereka bebas bergerak dalam negara dan mesti mematuhi undang-undang negara kita. Mereka bukan saja bebas bergerak, tetapi boleh bekerja mencari duit poket seperti di sektor peladangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Kamaruddin Jaffar (PKR-Tumpat) Datuk Kamaruddin Jaffar yang meminta penjelasan kerajaan sama ada bercadang memberi status pelarian khas kepada pelarian etnik Rohingya di Malaysia di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama dengan UNHCR untuk mengenal pasti dan mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mendakwa etnik Rohingya.

“Kami membuat surat pertukaran dengan UNHCR yang mereka kena bagi maklumat dan mesti bersama maklumat yang kita peroleh bagi mendapat jumlah sebenar pelarian Rohingya di Malaysia.

“Ada pihak mengambil cuba kesempatan menjadi pelarian Rohingya dan kami kena mengenal pasti yang betul-betul etnik Rohingya, muka sama tetapi bukan Rohingya,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang bertanyakan statistik pelarian etnik Rohingya dan adakah unsur ancaman kepada keselamatan negara, Shahidan berkata, jumlah yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat September 2017 ialah 62,513 orang dengan 53,811 pelarian dan 8,342 pemohon suaka.

Katanya, mereka didapati tidak terbabit dengan perkara yang menyalahi undang-undang negara dan hanya 2,061 orang ditempatkan ke negara ketiga oleh UNHCR setakat 30 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 4:51 AM