Nur Jazlan menunjukkan kad identiti khas MyRC. FOTO Kalidevi Mogan Kumarappa
Nur Jazlan menunjukkan kad identiti khas MyRC. FOTO Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi Mogan Kumarappa


SEMUA 150,000 pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia digesa berdaftar dalam program Proof of Concept (POC) yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, program POC bertujuan mendaftarkan semua pemegang kad UNHCR dalam sistem biometrik dan data negara sejak April lalu kurang mendapat sambutan berikutan tiada kerjasama daripada pertubuhan itu.

"UNHCR mula memberikan kerjasama dengan membekalkan pangkalan datanya kepada kontraktor yang dilantik KDN bermula bulan ini dan sehingga hari ini, seramai 321 pelarian yang memiliki kad berkenaan sudah didaftarkan.

"Selepas selesai pendaftaran dalam program POC ini, mereka akan dibekalkan dengan kad identiti khas MyRC yang memiliki 21 aspek keselamatan yang akan mengatasi masalah kad UNHCR palsu yang boleh digunakan untuk tujuan jenayah rentas sempadan dan keganasan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pendaftaran Pelarian (Pusat TRIS), hari ini.

Katanya, dengan pelaksanaan program POC secara percuma, mana-mana pemegang kad UNHCR boleh tampil berdaftar secara sukarela di pusat TRIS yang terletak di Avenue 5, Bangsar South.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 2:18 PM