Mohd Nasaruddin Parzi


Petaling Jaya: Malaysia akan menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan Khas (MyRC) yang mengandungi data peribadi sebagai dokumen tunggal yang sah kepada pelarian yang diterima menetap di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kad berkenaan yang didaftarkan menerusi Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS), akan menjadi dokumen rujukan kepada semua agensi penguatkuasaan, bukannya lagi kad dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Kita bukanlah negara yang menjadi anggota kepada konvensyen mengenai status pelarian 1951 atau protokol mengenai status pelarian 1967 UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

"Jadi sebenarnya kita tidak perlu mengiktirafkan kad (UNHCR) ini. Jadi apabila kita sudah ada program kita sendiri, maka kalau mereka tidak mahu terjebak dalam masalah lain terutama apabila kita buat operasi nanti, kita akan umumkan hanya mereka yang statusnya dikenal pasti oleh kerajaan saja yang boleh tinggal dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pendaftaran Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) disini, hari ini. Turut sama hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan tidak menetapkan tempoh atau sasaran waktu tertentu untuk mereka mendaftar atau penguatkuasaan tegas akan dilakukan, namun ia dilaksana sehingga kerajaan memperoleh satu jumlah pelarian yang munasabah.

"Berdasarkan statistik yang kita dapat daripada beberapa tempat, ada yang melalui pejabat UNHCR dan juga risikan, setakat ini 180,000 (pelarian). Sebab itu, kita mahu memastikan supaya program TRIS ini, kita dapat tahu benar-benar angkanya.

"(Jumlahnya) begitu saja atau ada peningkatan sepanjang masa. Selepas keputusan Jemaah Menteri (kelulusan TRIS) kita dapati ada peningkatan lagi sehingga 185,000.

"Di mana datangnya mereka ini? Oleh sebab itu, kita memohon program TRIS ini supaya supaya sesiapa saja yang dapat kad melalui TRIS dia boleh diberikan kemudahan," katanya.

Hamzah berkata, kementeriannya dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji bentuk kemudahan yang akan ditawarkan kepada pelarian termasuk peluang bekerja serta latihan dalam sektor seperti perladangan, pembinaan dan perkilangan.

TRIS adalah platform untuk mengumpul segala maklumat pelarian dan pencari suaka bagi membolehkan kerajaan memantau dan menjejaki semua pelarian di Malaysia, dengan maklumatnya akan diselaraskan dengan pangkalan data antaranya seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MKN.

Semua pelarian yang berdaftar di bawah TRIS melalui MyRC akan mengandungi data peribadi dan juga disahkan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, ditanya sama usaha ini seiring dengan cadangan dikemuka MKN untuk menutup pejabat operasi UNHCR di Malaysia, Hamzah berkata, ia baru cadangan yang dikemukan MKN dan memerlukan perbincangan serta penelitian lanjut pihak kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 7:55 PM