Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan dicadangkan memperkenalkan sistem pengawalan keselamatan secara zon dan masa bagi memastikan keselamatan rakyat diutamakan.

Selain memperkenalkan kad pengenalan Khas (MyRC) kepada pelarian, kerajaan juga dicadangkan memperkenalkan sistem

pengawalan keselamatan secara zon dan masa bagi memastikan keselamatan rakyat diutamakan.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, cadangan ini perlu diselaraskan dengan antara teras utama Dasar Keselamatan Negara iaitu keselamatan rakyat perlu diutamakan dalam apa jua cadangan dan polisi baru ingin diperkenalkan.

Menurutnya, isu pelarian bukanlah perkara baharu dan kaedah penyelesaian yang diambil mestilah tidak akan mengganggu kestabilan sosial, politik dan ekonomi negara.

"Selain memperkenalkan kad pengenalan khas (MyRC), kaedahnya lain adalah dengan mewujudkan 'urban zoning' iaitu pengawalan keselamatan zon dan masa kepada pelarian terbabit.

"Sistem ini bagi memastikan mereka hanya berada di tempat dan masa dibenarkan pada masa tertentu bagi menjamin keselamatan rakyat di negara ini," katanya.

Noor Nirwandy berkata, pemberian kad MyRC juga boleh digunakan bersama dengan sistem pengawalan keselamatan dan zon masa itu kerana tidak mahu pelarian ini bebas berada di mana-mana sehingga mengganggu gugat kehidupan masyarakat.

"Selain itu, kita juga mahu jaminan daripada kerajaan supaya mewujudkan kuota kepada pelarian ini dan didaftarkan di laman sesawang yang boleh diakses semua orang untuk mengetahui status pelarian terbabit.

"Mengenai sistem pengawalan keselamatan zon dan masa ini sebagai contoh jika tinggal di Kuala Lumpur, melalui laman sesawang itu kita akan tahun mereka (pelarian) ini berada di mana," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga dicadangkan menggubal satu akta dan membawanya ke Parlimen berkaitan pelarian yang ada di negara kita supaya mereka mematuhi undang-undang di negara ini.

"Jadi mereka akan tertakluk mengikut undang-undang negara kita dan tidak sewenang-wenangnya menuntut hak yang lebih.

"Malah melalui akta baru yang digubal itu, jika ada yang melakukan perkara melanggar undang-undang dan memalsukan kad MyRC ini juga boleh dikenakan tindakan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Malaysia akan menguatkuasakan penggunaan MyRC yang mengandungi data peribadi sebagai dokumen tunggal yang sah kepada pelarian yang diterima menetap di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, kad berkenaan yang didaftarkan menerusi Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS), akan menjadi dokumen rujukan kepada semua agensi penguatkuasaan, bukannya lagi kad dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 1:06 PM