GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) perlu bertanggungjawab ke atas setiap pelarian diiktiraf mereka terutama etnik Rohingya yang jumlahnya kini sudah mencecah ratusan ribu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata, sikap lepas tangan badan antarabangsa itu mengeluarkan ribuan kad pelarian akhirnya hanya menyusahkan warga tempatan.

Menurutnya, kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama dari etnik Rohingya itu hanya atas dasar kemanusiaan kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.

"UNHCR keluarkan kad, tetapi kad itu tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan, bermakna Rohingya ini 'istimewa' sebab semua warga asing perlukan dokumen kelulusan daripada imigresen tetapi Rohingya ada kad UNHCR.

"Sepatutnya (kerajaan) Malaysia tidak lihat isu pendidikan atau pekerjaan untuk mereka (Rohingya) sebaliknya bincang dengan Rohingya bagaimana nak cepatkan hantar mereka ke negara ketiga," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ada lebih 140 negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 dan tugas utama UNHCR adalah memindahkan pelarian di Malaysia ke negara berkenaan dengan segera.

Menurutnya, pemegang kad UNHCR dari segi undang-undang dianggap sebagai Pati dan tidak dibenarkan bekerja secara sah justeru badan itu perlu bertanggungjawab ke atas setiap individu yang diberikan kad pelarian itu.

Sophian berkata, perkara sebaliknya berlaku apabila golongan pelarian berkenaan dibenarkan untuk bergerak bebas sehingga menimbulkan suasana kurang senang dalam kalangan warga tempatan kerana kelakuan Pati itu sendiri yang sering membuat kacau bilau.

"Mereka ini hanya menyusahkan warga Malaysia ditambah dengan jumlah mereka yang kini sudah mencecah ratusan ribu dan mereka bebaa duduk di mana-mana tempat warga tempatan.

"Bukan itu sahaja, mereka membawa impak sosial yang buruk, merampas peluang pekerjaan dan hak rakyat malah membawa penyakit serta sifat pengotor ke mana sahaja mereka pergi," katanya.

Katanya, ada lebih 140 negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 dan tugas utama UNHCR adalah memindahkan pelarian di Malaysia ke negara berkenaan dengan segera.

Berdasarkan rekod data UNHCR, pada tahun lalu Malaysia mempunyai seramai 133,821 pelarian, pencari suaka (46,937) dan individu tanpa negara (114,459) menjadikan jumlah keseluruhan 295,217.

Dari jumlah itu 45 peratus terdiri daripada warga Myanmar 123,153 individu pelarian dan 34,578 pencari suaka manakala lain-lain negara antaranya Filipina, Pakistan, Afghanistan, Yemen, Palestin dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 2:52 PM