PENJENAYAH etnik Rohingya, Long Tiger yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember   ditangkap semula di Kedah pada 28 Disember lalu. FOTO Arkib NSTP
PENJENAYAH etnik Rohingya, Long Tiger yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember ditangkap semula di Kedah pada 28 Disember lalu. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Isu pelarian etnik Rohingya dilihat seperti tiada kesudahan dan mula dibimbangi boleh memberi ancaman kepada rakyat di negara ini. Berselindung di sebalik kad 'kebal' Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), mereka mula membina kehidupan, identiti, komuniti dan penempatan sendiri yang dilihat semakin hari semakin berkembang.

Lihat saja di sekitar Selayang, agak sukar untuk kita mencari wajah rakyat tempatan di sana, semuanya dibanjiri dengan warga asing terutama Rohingya. Paling dibimbangi, kad UNHCR itu tidak melalui sebarang tapisan pihak berkuasa di negara ini, sesiapa saja dan mungkin 'penjenayah' sudah bolos dan 'bersuka ria' di tanah tumpah negaraku ini.

Malah, mereka kini dilihat bebas bergerak di dalam negara dan berada di pelbagai sektor pekerjaan sehingga membina penempatan dan komuniti sendiri. Lebih parah, pelarian Rohingya ini dikhuatiri mampu membentuk kumpulan jenayah dalam kalangan mereka sendiri.

Semua pihak termasuk kerajaan mengakui kebanjiran golongan etnik itu di negara ini akan menyebabkan berlakunya pertembungan budaya selain penyumbang kepada peningkatan kegiatan jenayah.

Pelarian Rohingya tidak seharusnya dibiarkan bebas dalam negara kita kerana golongan ini menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini. Dalam kes terbaharu membabitkan penjenayah dikehendaki yang juga etnik Rohingya, Long Tiger atau nama sebenarnya Abd Hamim Abd Hamid yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu.

Ini menunjukkan etnik ini sudah 'besar kepala' sehingga menjadi penyumbang statistik kes jenayah di negara ini.

Lebih mengejutkan, menerusi laporan media mendedahkan kira-kira 86,155 pelarian Rohingya di negara ini hampir menyamai bilangan penduduk Putrajaya, namun hanya 317 yang diberikan penempatan di negara ketiga dalam tempoh enam bulan tahun ini. Hakikatnya Malaysia hanya penempatan sementara.

Punca lambakan pelarian ini berpunca daripada pengeluaran kad UNHCR yang tidak terkawal walhal Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 dan mengiktiraf mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) serta segala bantuan diberikan kerajaan atas dasar pelarian.

Adakah layanan Malaysia yang terlalu baik di samping kestabilan politik negara terjamin dilihat antara faktor kenapa etnik ini mula berani meletakkan pelbagai tuntutan yang mengancam kedaulatan negara?

Ketika ini, rakyat Malaysia menunggu apa sebenarnya pelan jangka panjang kerajaan untuk menguruskan etnik ini. Adakah mereka akan terus dibiarkan mendiami negara ini dan beranak-pinak sehingga tujuh keturunan dan tidak mustahil menguasai sumber ekonomi sekali gus merampas peluang ekonomi rakyat tempatan. Tetapi penulis tertarik dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang memberi amaran supaya etnik ini dan mana-mana pelarian tidak 'besar kepala' melanggar undang-undang negara.

Menurut Hamzah, sudah hampir dua tahun sejak dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri, beliau memperjuangkan supaya mereka yang mempunyai kad UNHCR faham dan 'sedar diri' dengan kedudukan mereka.

Perlu difahami dengan jelas, etnik Rohingya bukan rakyat Malaysia, tetapi diberi belas ihsan tinggal di negara ini sebagai pelarian kerana sifat perikemanusiaan kerajaan yang bersimpati dengan nasib mereka.

Hamzah mengulangi pendiriannya supaya etnik ini tidak pijak kepala dan berbuat sesuka hati di negara ini termasuk melanggar undang-undang.

Beliau mengulas mengenai tindakan kanak-kanak Rohingya meminta sedekah dan menghampiri kereta kemudian mengetuk pintu sambil berwajah bengis dan menunjukkan jari tengah yang dilihat terlalu biadab.

Sejak 1970-an berlaku beberapa pemberontakan terhadap penduduk Rohingya di negeri Rakhine di Myanmar memaksa ratusan ribu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh, termasuk Malaysia, Thailand dan negara lain di Asia Tenggara. Ketika berlaku pemberontakan kebanyakan pelarian Rohingya menjadi mangsa rogol, seksaan, harta benda dimusnahkan dan dibunuh pasukan keselamatan Myanmar.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 7:01 AM