Slot istimewa Buletin Utama TV3 malam ini
Slot istimewa Buletin Utama TV3 malam ini

Petaling Jaya: Slot istimewa Buletin Utama TV3 malam ini, memberi tumpuan khas kepada usaha Malaysia dalam berdiri teguh bersama nasib rakyat Palestin.

Dalam laporan eksklusif menerusi stesen televisyen (TV) Media Prima Berhad (MPB) ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia mengambil pelbagai inisiatif diplomatik dan kemanusiaan yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Slot berita khas ini memperlihatkan komitmen negara dalam menyokong Palestin.

Buletin Utama yang bermula jam 8 malam akan turut memaparkan pandangan dari penganalisis yang sentiasa mengikuti rapat perkembangan mutakhir di Palestin terutama kekejaman rejim Israel ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Menyentuh ketegasan pemimpin negara yang membantah kekejaman berterusan tentera rejim hingga menyebabkan rakyat Palestin terus menderita.

TV3 dalam kenyataan berkata pihaknya percaya kepada kepentingan penyelesaian adil dan berkekalan bagi konflik berterusan serta komited untuk meningkatkan kesedaran selain mempromosikan pemahaman melalui platform stesen TV.

TV3 sentiasa komited membawa berita tepat, berani dan memberi suara kepada mereka yang tidak didengari.

Menerusi laporan ini, stesen TV itu berharap dapat meningkatkan kesedaran dan menyemarakkan semangat solidariti terhadap rakyat Palestin.

Dalam pada itu, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menerusi akaun Bank Muamalat 14010008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan terbabit akan digunakan untuk membiayai bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:07 PM