Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) menyerahkan sumbangan orang ramai menerusi Tabung Kemanusian Palestin Media Prima berjumlah RM524,551.75 kepada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bagi membantu rakyat Palestin.

Dalam kenyataan, MPB memaklumkan sumbangan terbabit diharap dapat membantu mengurangkan penderitaan dialami rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel melalui inisiatif kemanusiaan MyCare di Gaza.

"MPB melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sentiasa komited membantu rakyat dan mangsa kekejaman di Palestin dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran untuk menjalankan misi di wilayah itu.

"MPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang telah menjayakan inisiatif ini," kata kenyataan itu pada majlis penyerahan replika cek sumbangan di Anjung Riong, Balai Berita, di sini, hari ini.

Penyerahan dilakukan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan MPB Azlan Abdul Aziz kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Fauziah Mohd Hasan.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan MPB, Mohamad Farris Effendy Md Salim.

Sementara itu, Dr Fauziah berkata, sebahagian sumbangan bantuan berkenaan akan digunakan membeli keperluan ubat-ubatan dan peralatan perubatan untuk rakyat Palestin di Gaza.

"Sebahagian lagi kita akan gunakan untuk membeli makanan asas seperti gandum, beras, makanan dalam tin dan sebagainya.

"Pengerusi MyCARE Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kamarul Zaman Shaharul Anwar juga kini berada di Kaherah, Mesir untuk memastikan barang yang kita dapatkan ini akan masuk ke dalam Gaza," katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan pihaknya menerima sumbangan sebanyak RM12 juta bagi membantu rakyat Palestin.

"Kita tahu rakyat Malaysia sangat bermurah hati dan berasakan kalau tidak sikit, mesti juga menolong saudara kita yang sangat terkesan di Gaza," katanya.

Dr Muhammad Munawar pula menyatakan siri bantuan ini bukan hanya sekadar melalui satu jalan sahaja.

"Antara usaha giat kami untuk menyampaikan bantuan dengan sebanyak dan segera mungkin melalui beberapa jalur. Kita tahu kerajaan Malaysia menguruskan atau mengelola Ops Ihsan didokongi lebih 40 NGO dengan pelbagai kluster.

"Dalam masa sama, kita juga mencari saluran lain bersama dengan rakan organisasi yang berkelayakan dan berkemampuan di Mesir dan sempadan lain," katanya.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima melalui akaun Bank Muamalat 14010008844715 atau Maybank 564276510331.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 1:31 PM
Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz (dua dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Mohd Hasan (dua dari kanan) sambil diperhatikan Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Mohamad Farris Effendy Md Salim (kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta ketika majlis pemyampaian sumbangan untuk rakyat Palestin di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz (dua dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Mohd Hasan (dua dari kanan) sambil diperhatikan Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Mohamad Farris Effendy Md Salim (kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Muhammad Munawar Mohamed Hatta ketika majlis pemyampaian sumbangan untuk rakyat Palestin di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM