MOHAMED Jawhar (tiga dari kiri)  menyerahkan replika cek kepada Norian di pejabat PGPF, semalam.
MOHAMED Jawhar (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Norian di pejabat PGPF, semalam.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad menyerahkan hasil kutipan sumbangan sebanyak RM110,000 menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kepada Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) yang akan disalurkan kepada Pusat Rehabilitasi dan Fisioterapi Enaya di Khan Younis, Gaza.

Replika cek diserahkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan kepada Pengerusi PGPF Tan Sri Norian Mai di pejabat PGPF di sini, semalam.

Norian berkata, sumbangan itu akan digunakan bagi menyediakan kelengkapan dan kemudahan tambahan di pusat berkenaan yang menyediakan rawatan pemulihan kepada penduduk yang mengalami kecederaan akibat peperangan.

“Pusat ini mempunyai keluasan 250 meter persegi dan mempunyai tiga jabatan yang menyediakan perkhidmatan khusus dalam rawatan fisioterapi dan pemulihan di bandar yang mempunyai kira-kira 150,000 orang penduduk.

“Setakat ini, kita berada di peringkat kedua iaitu menyediakan kelengkapan bangunan dan peralatan rawatan namun kami masih memerlukan sebanyak RM250,000 untuk memastikan pusat itu dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, proses melengkapkan keperluan pusat itu dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada sumbangan yang diterima daripada orang ramai.

Sementara itu, Mohamed Jawhar berkata, Media Prima menyatakan penghargaan setulus ikhlas buat semua yang menyumbang kepada tabung ini dan keprihatinan ke atas nasib rakyat di Gaza.

“Kita berjaya mengutip sebanyak RM7.5 juta bagi tabung ini dan sudah diserahkan kepada pihak yang membantu pelarian Palestin.

“Namun bagi menyatakan keprihatinan kita terhadap rakyat Gaza dan Tebing Barat, Media Prima akan meneruskan tabung ini.

“Kelmarin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pihak Berkuasa Palestin menerusi satu kenyataan berkata, mereka memerlukan RM1.5 bilion bagi 2019 untuk menampung keperluan rakyat mereka.

“Jumlah itu adalah kos bagi menampung keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat berteduh dan kesihatan,” katanya.

Individu dan organisasi boleh menyalurkan sumbangan mereka melalui akaun Maybank 5642 7651 0331 atas nama Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima atau melalui cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad di tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 10:15 AM