#ShameOnIsrael yang dipaparkan di Bandar Bukit Mahkota yang menempatkan pejabat Mapim. FOTO Ihsan Mapim
#ShameOnIsrael yang dipaparkan di Bandar Bukit Mahkota yang menempatkan pejabat Mapim. FOTO Ihsan Mapim
Hajar Umira Md Zaki


Bangi: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil inisiatif membuat paparan diod pemancar cahaya (LED) #ShameOnIsrael di bangunan Syarikat al-Araby yang menempatkan pejabat badan bukan kerajaan (NGO) itu di Bandar Bukit Mahkota, di sini, sebagai bantahan kekejaman Israel di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, kempen itu mula dilancarkan pihaknya, sejak Jumaat lalu.

"Kami berharap, menerusi kempen ini dapat memberikan kesedaran kepada individu yang kurang jelas dengan isu yang berlaku.

"Ini kerana, ada juga individu yang tidak aktif di media sosial, jadi sekurang-kurangnya mereka boleh lihat kempen yang diterjemahkan secara fizikal jika melalui pejabat Mapim," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Syarikat Al Araby ketika dihubungi, hari ini.

Menerusi kempen berkenaan, Ahmad Sani Araby berkata, pihaknya turut menerima pelbagai reaksi yang positif dan kata sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk orang perseorangan.

"Ramai berterima kasih kerana bantu membangkitkan suasana ini dalam situasi perayaan, kempen ini dapat membantu rasa ingin tahu mereka berkenaan isu di Palestin.

"Alhamdulillah... ada juga yang memberikan sumbangan terus kepada Mapim," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga aktif menggerakkan kempen mengutuk kekejaman rejim zionis itu di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Telegram Mapim.

"MAPIM juga menyalurkan bantuan kemanusiaan dari segi kewangan, makanan, serta bantuan sokongan motivasi kepada rakyat Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 9:53 PM