MAJLIS tahlil dan bacaan Yasin di Masjid Ukay Perdana, Hulu Klang untuk petugas media yang sudah kembali ke rahmatullah.
MAJLIS tahlil dan bacaan Yasin di Masjid Ukay Perdana, Hulu Klang untuk petugas media yang sudah kembali ke rahmatullah.
Serimah Mohd Sallehuddin

MEREKA sudah tiada, namun jasa dan bakti yang dicurahkan membantu ke arah memartabatkan bidang persada seni di Malaysia tetap dikenang selama-lamanya.

Dengan menulis, insan ini bersama berjuang bagi memakmurkan kehidupan karyawan seni dan nama mereka sentiasa terpahat dalam industri sampai bila-bila.

Program Imarah Zulhijjah anjuran Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (Wham) di Masjid Ukay Perdana, Hulu Klang, baru-baru ini bagi mengenang sahabat di bidang kewartawanan, khususnya yang meladeni dunia seni dan hiburan yang kembali ke rahmatullah.

Ia juga diadakan bagi mengenang insan seni yang baru meninggal dunia seperti Allahyarham Pyanhabib dan Kamal Huzaini Kamaludin atau Huzz yang juga petugas media.

Presiden Wham, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, kewartawanan seni dan hiburan mempunyai sisi penuh 'intrig' kerana sering berdepan kisah sensasi dan kontroversi membabitkan golongan ternama serta popular.

"Justeru, wartawan seni dan hiburan itu sendiri sebahagiannya cukup dikenali dalam kalangan masyarakat. Kita tentunya sentiasa mengenang nama arwah Huzz, Abdul Jalil Salleh (Juwie), Aimi Jarr, Bahyah Mahmood (Bam) dan ramai lagi.

"Ini kerana mereka adalah insan penting di sebalik pembangunan kerjaya ramai artis di Malaysia. Program Imarah Zulhijjah ini diadakan bagi mencuri sedikit masa untuk kembali mengenang sahabat yang sudah tiada. Doa dan harapan kami, semoga barakah daripada majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan ini sampai kepada rakan-rakan yang dijemput Ilahi," katanya.

Majlis berlangsung selepas Maghrib itu mengimarahkan sambil mengambil barakah Zulhijah, selain turut mengadakan bacaan tahlil dan Yasin kepada sahabat yang sudah pulang ke rahmatullah.

"Wham berbesar hati kerana majlis ini mendapat kerjasama baik daripada seluruh jawatankuasa masjid, pengunjung masjid, rakan artis dan media baharu dan lama.

"Terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), khususnya Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib yang sentiasa memberi galakan dan sokongan bagi acara baik seperti ini.

"Program ini memberi banyak makna kepada Wham sebagai satu-satunya pertubuhan yang memperjuangkan nasib wartawan seni dan hiburan dalam negara ini," katanya.

Antara rakan artis yang turut meluangkan pada majlis tahlil dan solat hajat itu termasuk Datuk Rosyam Noor, Den Wahab, Nora Tamam, Raja Alawiah Raja Idris, Ramlah Ram, Ellie Suriaty, Betty Banafe dan Raja Azmi.

Malah, usaha Wham turut disokong ahli keluarga sahabat yang sudah meninggal dunia.

Antara sahabat kewartawanan seni dan hiburan yang dijemput Ilahi ialah Allahyarham Huzz, Siti Nor Hafiza Kamarudin, Noor Azlina Jaafar, Rafi Awang Kechik, Rudy Imran Shamsudin, Faizal Shahruni, Hardi Effendi Yaacob, Fauziah Johar, Fauzi Edros, Fauzi Hadi, Buhairi Ramli, Baharudin Abu Bakar, Ramnah Yassin, Zakaria Ahmad, Azman Ahmad, AR Kamaludin, Sadhana Abd Kadir, Khairul Azleyna Ishak, Haniff Abdul Ghani, Seri Bayu, Aimi Jarr, Ashraf Abdul Manaf, Meor Shahriman, Norshah Thamby, Abdul Jalil Salleh, Ahmad Idris, Sani Salleh, Wan Sandari, Wan Manisah, Zaini Zaa, Brother Bob, Bahyah Mahmood dan Omar Manan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:31 AM