Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menyerahkan sumbangan berjumlah RM716,500 kepada Malaysia Relief Agency (MRA), hari ini.

Replika cek sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan MPB Azlan Abdul Aziz kepada Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman.

Sumbangan itu akan digunakan untuk tujuan membekalkan perubatan kepada hospital, bekalan makanan, bekalan bahan api kepada hospital, kit kebersihan dan kelengkapan keperluan kepada rakyat Palestin.

Dr Mohd Daud berkata, pihaknya berterima kepada rakyat Malaysia yang menyumbang dan MPB kerana berusaha mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang dihimpit kesusahan akibat serangan Israel sejak lebih 100 hari.

"Sumbangan diterima ini akan digunakan dengan memberi tumpuan kepada bantuan kecemasan, makanan, minuman, trak air dan bantuan musim sejuk sebabbanyak runtuhan.

"Nak bina tempat perlindungan makan masa jadi perlu bantuan asas dan kecemasan waktu musim sejuk ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek di Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP) Bangsar, di sini.

Hadir sama, Naib Presiden 1 (Kebangsaan) MRA, Khairil Annuar Khalid.

Menurut Dr Daud, sejak tercetusnya peperangan di Gaza, Palestin Oktober lalu, MRA sudah menghantar bantuan berjumlah RM2.4 juta menerusi rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana (Gaza).

Dr Daud berkata, bantuan itu disalurkan untuk menampung keperluan mendesak seperti bantuan perubatan, bahan bakar untuk hospital, keperluan musim sejuk, bakul makanan, bekalan gandum, makanan panas, trak air dan air minuman yang memanfaatkan 33,850 rakyat Palestin.

"Kita dalam proses melihat projek bantuan lain, salah satunya bantuan ambulans menerusi kempen khas yang dilancarkan pada November lalu.

"Ada empat ambulans sudah dibeli dengan setiap unit bernilai AS$40,000 (kira-kira RM188,680).

"Satu (ambulans) sudah masuk, dua tunggu giliran dan akan ada lagi satu menyusul serta menyasarkan bantuan sekurang-kurangnya 40 ambulans.

"Buat masa ini, bantuan disalurkan ke Gaza menggunakan tiga strategi iaitu Ops Ihsan Wisma Putra, rakan NGO dan hubungan peribadi dengan rakan strategik," katanya yang berharap orang ramai terus berdoa supaya rejim Zionis berundur dari Gaza.

Orang ramai boleh terus menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menerusi akaun Maybank bernombor 564276510331 atau Muamalat bernombor

14010008 844715.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 12:39 PM
Presiden Malaysia Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman (tiga kiri) menerima replika cek bernilai RM716,500 daripada Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz (tiga kanan) menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima di Balai Berita, NSTP. FOTO AZIAH AZMEE
Presiden Malaysia Relief Agency (MRA), Dr Mohd Daud Sulaiman (tiga kiri) menerima replika cek bernilai RM716,500 daripada Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz (tiga kanan) menerusi Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima di Balai Berita, NSTP. FOTO AZIAH AZMEE