MOHAMAD Azwaan Jamil dan isteri, Nur Syahidah Abdol Rahman bersama anak mereka, Rayyan Uqayl. FOTO Ihsan Nur Syahidah Abdol Rahman
MOHAMAD Azwaan Jamil dan isteri, Nur Syahidah Abdol Rahman bersama anak mereka, Rayyan Uqayl. FOTO Ihsan Nur Syahidah Abdol Rahman
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Saya bantu bukan kerana mereka adalah saudara sesama Islam, tetapi juga atas dasar kemanusiaan. Lagipun, saya ada anak. Sedih sangat apabila melihat ramai kanak-kanak di Palestin terbunuh akibat kekejaman rejim Zionis."

Demikian kata Mohamad Azwaan Jamil, 32, yang berganding bahu dengan isterinya, Nur Syahidah Abdol Rahman, 32, mengadakan jualan amal jersi keluaran syarikat milik mereka.

Mohamad Azwaan berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai jihad kecilnya bersama isteri dalam meringankan penderitaan rakyat dan saudara Islam Palestin.

Menurutnya, ia dibuat menerusi sumbangan RM5 daripada setiap hasil jualan jersi kepada Tabung Yayasan Nurjiwa diasaskan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Katanya, jualan amal ini akan dijalankan menerusi siri jelajah dalam karnival yang bermula dari 15 hingga 22 November lalu di beberapa kawasan sekitar Johor.

"Tujuan utama syarikat melancarkan kempen jualan amal jersi adalah sebagai tanda protes atas kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

"Jersi yang dikeluarkan bukan sahaja untuk dipakai, tetapi mempunyai mesej ringkas tetapi mendalam iaitu 'Save Palestine' dan 'We Should Think About Day and Night'

"Alhamdulillah, ramai yang beri sokongan termasuk membuat tempahan baju untuk dipakai dalam tempoh kempen dan konsert, baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamad Azwaan, inisiatif itu bukan julung kali diadakan kerana tahun lalu syarikatnya sudah menggerakkannya dengan sumbangan terkumpul sebanyak RM43,140 untuk keluaran pertama dan RM14,000 untuk siri kedua.

"Tahun ini, kami berharap dapat memberi sumbangan lebih lagi untuk membantu saudara kita di sana (Palestin).

"Syarikat juga bekerjasama dengan penyanyi Azan Scan untuk bersama-sama mengumpul dana Palestin bagi diserahkan kepada Yayasan Nurjiwa.

"Terima kasih kepada pelanggan yang menyokong kempen ini, hanya Allah saja dapat membalas kebaikan kalian yang sentiasa positif dalam menyertai kempen jualan amal Palestin," katanya.

Sementara itu, Nur Syahidah berkata, kesengsaraan rakyat Palestin terus mendapat perhatian dunia dengan menolak segala bentuk kekejaman.

"Sedih mengenangkan saudara Islam kita di sana, jadi tidak kira usahawan atau apa juga pekerjaan kita, marilah bersama membantu mereka seikhlas hati.

"Semoga peperangan itu berakhir dan Allah terus melindungi rakyat Palestin.

"Jangan pernah sesekali kita lupakan kesengsaraan mereka di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 2:48 PM