Bella membuat panggilan video dengan Caprice dan isterinya.
Bella membuat panggilan video dengan Caprice dan isterinya.

Kuala Lumpur : Pempengaruh popular, Caprice dan pelakon, Bella Astillah akhirnya mengambil keputusan untuk berdamai dan tidak memanjangkan kemelut yang berlaku.

Berdamai menerusi panggilan video, kedua-duanya memuat naik hantaran terbaru ketika mereka mencari jalan penyelesaian terbaik.

Caprice berkata, antara dia dan Bella sudah tiada apa-apa isu berbangkit.

"Bella dan saya 'cool'. Semuanya sudah selesai," tulisnya di ruangan kapsyen.

Sementara itu, pada hantaran Bella pula, dia turut memuat naik gambar sedang membuat panggilan video bersama Caprice dan isterinya, Farra Inalis.

Semalam wanita didakwa kekasih gelap kepada penyanyi Aliff Aziz, Sarah Yasmine mendakwa Caprice turut terbabit dalam konflik membabitkan Aliff dan Bella.

Dedah Sarah, walaupun Caprice mengetahui mengenai hubungan di antara Aliff dan Ruhainies, namun dia didakwa berpihak kepada pelakon dan penyanyi asal Singapura itu.

Sarah mendakwa video berkaitan Bella dan pelakon baharu Muaz Zabir yang disebarkan melalui TikTok Edisi Umat juga adalah hasil suntingan Caprice.

Kemudian Bella dalam hantaran yang diulang siar semula daripada perkongsian Sarah di Instagram Story turut mendakwa Caprice mempunyai kaitan dalam kes penyebaran hubungan membabitkan dirinya dan Muaz.

Bagaimanapun, Bella menyifatkan Caprice seolah-olah menjerat lehernya sendiri apabila cuba mempertahankan diri selain mempunyai bukti-bukti mengenai hubungan Bella dan Muaz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 8:48 PM