HELIKOPTER M81-11 (Agusta L109H).
HELIKOPTER M81-11 (Agusta L109H).
Alias Abd Rani


Kluang: Tentera Darat (TDM) mengesahkan sebuah helikopter miliknya melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang, Johor, awal pagi tadi.

TDM dalam kenyataan berkata, pesawat jenis M81-11 (Agusta L109H) melakukan pendaratan kecemasan ketika sesi Latihan penerbangan malam membabitkan Kursus Army Aviation Basic Officer Course.

Katanya, insiden pada 1.35 pagi menyebabkan tiga anak kapal terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, penuntut kursus dan krew kuater master mengalami kecederaan.

"Kesemua krew terbabit dalam keadaan sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan mengenal pasti beberapa kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit.

"Ada yang patah tulang belakang dan luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti.

"Mereka berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi menerima rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya lagi, TDM sudah mengambil tindakan Henti Terbang Sementara (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan.

Katanya, retifikasi dan 'one-time inspection' akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.

"Pada masa sama, satu lembaga siasatan akan bersidang bagi mengenal pasti punca kejadian. TDM juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mendoakan agar kesemua anak kapal cepat sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:23 PM