De Fam
De Fam
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Anggota De Fam juga pelakon, Azira Shafinaz, 33, menegaskan pengunduran kumpulan itu dalam program The Hardest Singing Show (THSS) baru-baru ini kerana masalah kesihatan dirinya dan bukan sebab mendapat markah rendah.

Azira atau nama sebenarnya Azira Shafinaz Ramlan berkata, dia memang sakit dan ada surat daripada doktor yang menasihatinya agar berhenti membuat persembahan untuk pertandingan itu.

"Biarlah apa yang berlaku hanya diketahui antara saya, pasukan dan Astro saja. Cuma, tak perlulah dipertikaikan keputusan yang sudah dibuat kerana ia juga mendapat persetujuan bersama daripada semua pihak.

"Saya memang berhadapan masalah kesihatan sekarang dan sudah mendapatkan rawatan doktor. Malah, saya turut dinasihatkan oleh doktor agar berhenti buat persembahan di THSS. 

"Jadi, saya jumpa dengan ahli De Fam untuk kami berbincang dapat kata sepakat dan bersetuju menarik diri. Kami terus memaklumkan kepada pihak produksi Astro kerana saya pun ada surat pengesahan doktor," katanya kepada Harian Metro.

Azira ditemui pada majlis pelancaran drama Viu Original, Nafsu di ibu kota berkata, dia berharap peminat De Fam dapat menerima keputusan berkenaan secara baik tanpa mengaitkannya dengan spekulasi.

"Saya juga sebelum itu memang  pernah berkongsi hantaran mengenai masalah kesihatan dialami, namun tak perlulah diperjelaskan secara terperinci kerana ia terlalu peribadi.

"Apapun, penarikan diri De Fam juga tiada kaitan dengan markah rendah diperoleh sebagaimana yang orang asyik pertikaikan selepas kami buat persembahan. Saya faham itu dan kami pun sudah beri komitmen yang baik," katanya.

Mengakui jadual kerjanya juga sangat padat dan mungkin kurang rehat, Azira berkata dia kini berehat selama sebulan sebelum memulakan penggambaran untuk projek lakonan terbaharunya pada Ogos depan.

Selain Azira, De Fam dianggotai Sophia Liana dan Cik Manggis mengumumkan pengunduran mereka dalam persaingan THSS pada 16 Jun lalu selepas lima minggu beraksi di pentas program realiti nyanyian itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:26 PM