Penyerahan bantuan kepada komuniti asnaf oleh Ketua Syariah dan Pematuhan Halal, Hayazi Darus - FOTO QSR Brands
Penyerahan bantuan kepada komuniti asnaf oleh Ketua Syariah dan Pematuhan Halal, Hayazi Darus - FOTO QSR Brands
Nurshafika Suhaimi

Petaling Jaya : QSR Brands (M) Holdings Bhd berjaya menyumbang zakat wakalah berjumlah RM155,200 yang diagihkan kepada lebih 2,500 asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidiladha lalu.

Sebanyak lapan lokasi di tujuh buah negeri di Malaysia dan satu di Kemboja menerima sumbangan agihan daging lembu segar dalam tempoh tiga hari.

Program tersebut dibantu oleh sukarelawan selama lebih lapan jam setiap hari untuk membantu serta membawa kemeriahan dan kegembiraan kepada penduduk tempatan. 

Selain kakitangan QSR Brands, program ini turut disertai oleh rakan strategik termasuk JAKIM untuk Kemboja, Lembaga Zakat Kedah dan Selangor, Bahagian Zakat dan Fitrah untuk Sabah dan Sarawak serta JAIS untuk Melaka. 

Dengan inisiatif ini, pertubuhan QSR Brands kekal menjadi penyumbang zakat terbesar di Malaysia tahun ini. 

Pada tahun 2024 sahaja, syarikat berjaya menyumbang lebih RM468,887 melalui dana Wakalah yang bertujuan untuk aktiviti amal.

Melalui tabung ini, organisasi Jabatan Halal dan Syariah secara konsisten berusaha membantu komuniti asnaf di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands, Nehchal Khanna berkata membantu serta menyokong golongan kurang bernasib baik menjadi bahagian penting dalam perniagaan mereka selama lebih 50 tahun ini.

"Tidak kira sama ada daripada hidangan sedap makanan jenama kami ataupun pek barangan penjagaan daripada rakan kongsi, kepuasan membantu mereka tiada tandingannya. 

"Kami berharap dapat terus melakukan kebaikan ini sehingga kami dapat merapatkan jurang kemiskinan dan membasmi kelaparan," katanya. 

ImageSekitar majlis agihan daging korban pada 16 Jun lalu bersama pasukan petugas QR Brands dan sukarelawan. - FOTO QR Brands

Sementara itu, Ketua Jabatan Halal dan Syariah QSRB, Hayazi Darus berharap agar inisiatif mulia ini dapat menambah kegembiraan kepada umat Islam yang kurang bernasib baik.

"Antara rukun Islam yang utama ialah zakat, jadi kami berharap melalui inisiatif sederhana ini dapat mengurangkan rasa lapar dan menambah kegembiraan kepada golongan asnaf sempena Hari Raya Haji ini," katanya.

Sejak 2022, QSR Brands melalui dana Wakalah telah menyumbang lebih RM3.93 juta untuk membantu lebih 75,000 asnaf.

Selain itu, inisiatif jangkauan QSR Brands termasuk sumbangan lebih RM32.4 juta dalam tempoh 14 tahun yang lalu melalui KFC Add Hope dan lebih RM300,000 ke arah Pemulihan Kanser melalui program Pizza Hut's Hut to Heart turut dilaksanakan menerusi dana terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:47 PM