GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Ringkasan Berita

  • Pengundian PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos; penamaan calon 3 Ogos, pengundian awal 13 Ogos
  • Wang tersebut dipindahkan sebagai bayaran untuk pembelian kereta Ford Ranger oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan.
  • Tempoh berkempen selama 14 hari bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos
  • Seramai 20,259 pemilih, termasuk 14 anggota polis, akan mengundi
  • PRK ini memerlukan RM1.6 juta dengan 431 petugas dan 20 pusat mengundi
  • Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos ini.

    "Sehubungan itu, bagi urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka bermula hari ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 16 Ogos ini.

    Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil itu membabitkan daftar pemilih tambahan April 2024 yang dikemaskini sehingga 18 Jun 2024.

    DPPR itu mengandungi seramai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

    "PRK DUN N43 Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

    "Seramai 431 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 20 pusat mengundi biasa mengandungi 46 saluran dan satu pusat mengundi awal akan digunakan," katanya.

    Beliau berkata, SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses pilihan raya kecil berkenaan.

    "Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.

    "Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya," katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

    Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

    Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan injunksi terbabit.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:34 PM