AKSI pemain Panama  Roderick Miller mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya ketika menentang AS.
AKSI pemain Panama Roderick Miller mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya ketika menentang AS.
AFP

Atlanta: Tindakan 'bodoh' Timothy Weah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) berdepan kemungkinan tersingkir daripada Copa Amerika selepas tewas mengejut 1-2 kepada Panama, pagi tadi.

Pemain sayap Juventus, Weah dibuang padang pada minit ke-18 selepas mengasari Roderick Miller dalam aksi sengit Kumpulan C di Stadium Mercedes-Benz di Atlanta.

Walaupun Folarin Balogun meletakkan AS di hadapan empat minit selepas Weah dibuang padang, kelebihan pemain dimiliki Panama dimanfaatkan pasukan dari Amerika Tengah itu yang bangkit menerusi gol Cesar Blackman dan Jose Fajardo untuk memastikan kemenangan.

Kekalahan bermakna Amerika Syarikat berdepan misi sukar apabila perlu menang atau seri menentang Uruguay dalam aksi terakhir kumpulan pada Selasa depan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Jurulatih AS, Gregg Berhalter berkata, kad merah Weah menjejaskan rentak pasukannya dan menggambarkan tindakan Weah sebagai 'bodoh'.

"Insiden yang mengubah perlawanan sudah tentu kad merah dan ia meletakkan kami dalam kedudukan sukar. Saya tidak boleh menyalahkan pasukan, terutamanya selepas kehilangan seorang pemain.

"Pemain berusaha keras dan kami hampir mendapatkan satu mata. Tetapi sayang sekali akibat keputusan bodoh oleh Timmy membuatkan kami kecewa akhirnya," kata Berhalter.

Sementara itu, Weah dalam media sosialnya meminta maaf di atas kad merahnya.

"Saya sangat menyesal dan meminta maaf kepada semua. Cinta saya untuk pasukan ini melebihi sekadar bola sepak dan saya sangat sedih dan marah pada diri sendiri kerana meletakkan rakan-rakan saya dalam situasi sukar," tulisnya di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:28 PM