Mohd Azizi Abu Naim
Mohd Azizi Abu Naim
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Mohd Azizi berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau menerima keputusan berkenaan, namun masih mempunyai alternatif lain.

Katanya, kelmarin beliau menerusi peguamnya turut memfailkan permohonan afidavit bagi menghalang atau membatalkan notis Surat Makluman daripada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong, digantung pelaksanaannya.

Mohd Azizi berkata, bacaan bagi permohonan afidavit pembatalan notis surat makluman itu akan bermula pada 28 Ogos ini.

"Justeru, Isnin ini atau minggu depan peguam kita akan membuat permohonan baru kepada mahkamah untuk mempercepatkan perbicaraan atau bacaan.

"Mahkamah menetapkan 28 Ogos untuk memulakan bacaan permohonan itu, namun kita akan minta mahkamah mempercepatkan kepada satu tarikh yang munasabah.

"Insya-Allah mahkamah terima permohonan untuk kita menghalang keputusan Speaker atas sebab tertentu. Walaupun SPR sudah buat penamaan calon, pilihan raya tidak akan diteruskan jika mahkamah terima permohonan kita," katanya ketika dihubung di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, beliau menunggu keputusan SPR hari ini selepas mereka selesai mengadakan mesyuarat.

Beliau faham dan tidak boleh menghalang SPR sebab mereka ada tempoh tertentu selepas mendapat notis daripada mana-mana Speaker.

"SPR mesti atau wajib mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari daripada tarikh penerimaan notis kekosongan kerusi kerana itu yang tertakluk dalam Perlembagaan.

"Namun, selaku wakil rakyat yang dinafikan hak di DUN Nenggiri saya ada satu saluran lagi. Hari ini SPR bermesyuarat dan kebiasaannya tidak akan berlaku pilihan raya hari ini kerana ia mengambil masa.

"Mungkin dalam tempoh sebulan dari tarikh bermesyuarat, jadi kita tengok hari ini sekiranya SPR umum pilihan raya pada akhir Julai ini. Kalau kata Julai, kita akan mohon dengan mahkamah bahawa kita nak satu keputusan baru supaya percepatkan tarikh bacaan permohonan afidavit membatalkan notis Surat Makluman daripada Speaker DUN Kelantan," katanya.

Media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan Mohd Azizi Abu Naim, untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Peguam, Chetan Jethwani, yang mewakili BERSATU berkata Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana Mohd Azizi boleh menyertai pilihan raya kecil itu.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:14 PM