Perkongsian Didi di media sosial.
Perkongsian Didi di media sosial.

Kuala Lumpur: Pelakon Didi Astillah kecewa dengan tindakan abang iparnya, Aliff Aziz yang didakwa tergamak memberikan kenyataan tidak benar mengenai hubungan rumah tangganya dengan Bella Astillah semata-mata untuk membela serta menjaga nama baik pelakon Ruhainies.

Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 27, berkata, pendedahan yang dibuat Aliff menerusi podcast di YouTube kelmarin adalah salah satu rancangan untuk menjatuhkan kakaknya.

"Jadi inilah rancangan terakhir nak jatuhkan kak long (panggilan Bella) lepas pakai cyber-tropper tak berjaya.

"Sampai hati abang (panggilan Aliff) tipu orang untuk kebaikan diri sendiri dan si R (Ruhainies)," katanya menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram, malam tadi.

Menurut Didi, dakwaan Aliff yang mengatakan sudah sedaya upaya memberikan layanan bak puteri kepada Bella dalam temu bual podcast itu hanyalah bersifat sementara sebelum bertemu dengan Ruhainies.

Katanya lagi, abang iparnya itu perlahan-lahan berubah sikap selepas menjalani penggambaran dengan Ruhainies sehingga menukar kata kunci telefon bimbitnya.

"Layanan persis puteri yang awak (Aliff) cakap sudah bagi dekat kak long hanya untuk beberapa bulan sehinggalah awak menjalani penggambaran dengan si R (Ruhainies)dan mengubah kata kunci telefon bimbit,"

Menerusi hantaran yang dimuat naik, Didi turut berkongsi tangkap layar perbualan mesej Aliff bersama seorang individu yang dikenali sebagai NRF yang didakwa merujuk kepada Ruhainies.

Menerusi perkongsian itu, Aliff seolah-olah meminta pandangan daripada individu itu untuk meneruskan perancangannya selepas terpalit dengan kontroversi tangkap khalwat.

"Ibu bapa saya menasihatkan sekiranya perancangan kita tidak berjaya, saya terpaksa mengambil langkah akhir untuk memberi kenyataan," ujarnya.

NRF bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Aliff dan memberitahu pelakon berkenaan perlu membuat kenyataan secara bersemuka supaya masyarakat dapat melihat kejujuran yang ingin diucapkan.

"Ya, awak (Aliff) kena cakap berdepan biar orang tengok muka awak.

"Cara awak itu boleh nampak kejujuran awak bila bercakap," tulis NRF.

Dalam pada itu, Didi turut mendakwa Aliff mula berubah sikap selepas mengenali Ruhainies.

Lebih menguatkan perkara itu, Didi berkongsi tangkap layar perbualan mesej yang dipercayai oleh Bella kepada Aliff meminta suaminya untuk meluangkan masa bersama anak-anak mereka.

Bella menghantar foto anak-anaknya, Ayden dan Ara yang bertanyakan mengapa Aliff tidak keluar bersama mereka lagi.

Dalam hantaran itu, Didi menyertakan bukti foto hubungan Bella dan Aliff berada dalam keadaan baik pada November tahun lalu.

Ia bertentangan dengan kenyataan Aliff dalam temu bual podcast sebelum ini memberitahu hubungannya dengan Bella mula renggang sejak 13 November tahun lalu.

Terdahulu Bella memfailkan cerai secara ekspres pada 13 Mac lalu terhadap selebriti kelahiran Singapura itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Ia susulan Aliff dan Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella pada sebutan kedua kes itu pada 4 April lalu kerana masih sayangkan isterinya dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka.

Kisah rumah tangga mereka menjadi lebih rumit apabila timbul dakwaan Bella bersikap curang apabila menjalinkan hubungan dengan aktor baharu, Muaz Zabir selepas tersebar foto mesra mereka berdua.

Tidak menyangkal dakwaan itu, Bella bagaimanapun menjelaskan hubungannya dengan Muaz sekadar mahu membuatkan Aliff cemburu dan perkara itu juga sudah selesai di antara keluarga kedua-dua belah pihak tahun lalu.

Isu itu bertambah panas apabila muncul seorang wanita, Sarah Yasmine mendakwa dia adalah kekasih Aliff sejak Januari lalu.

Sarah turut mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan individu dinamakan sebagai 'NRF'.

Pendedahan itu membuatkan ramai bengang selain isu ini turut mengaitkan beberapa selebriti lain.

Selepas lebih sebulan berdiam diri, Aliff akhirnya tampil mempertahankan diri menerusi podcast The Common Folks dan berharap segalanya dapat berakhir dengan baik.

Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna yang bersuai 3 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 9:13 AM