SAINTIS berharap teknologi itu suatu hari nanti akan memainkan peranan dalam penciptaan android dengan penampilan dan kebolehan seperti manusia. FOTO Agensi
SAINTIS berharap teknologi itu suatu hari nanti akan memainkan peranan dalam penciptaan android dengan penampilan dan kebolehan seperti manusia. FOTO Agensi
AFP

Tokyo: Sepasukan saintis Jepun menggunakan sel manusia untuk membangunkan kulit yang setara dengan kulit hidup, yang boleh dilekatkan pada permukaan robot untuk memancarkan senyuman yang realistik.

Penyelidik Universiti Tokyo menerbitkan penemuan mereka pada 25 Jun bersama-sama dengan video memaparkan bahan merah jambu yang kelihatan melekit diregangkan sehingga menunjukkan ia seperti tersenyum

Mereka menggunakan "gel sarat sel pembentuk kulit" untuk mencipta "robot yang diliputi kulit hidup", kata kajian mereka dalam jurnal Cell Reports Physical Science.

Pakar robot biohibrid berharap teknologi itu suatu hari nanti akan memainkan peranan dalam penciptaan android dengan penampilan dan kebolehan seperti manusia.

"Kami juga berharap ini akan membantu memberi penerangan yang lebih baik mengenai pembentukan kedutan dan fisiologi ekspresi muka," dan membantu untuk membangunkan bahan pemindahan dan kosmetik, kata pasukan yang diketuai oleh Prof Shoji Takeuchi.

Bahan baharu itu boleh menandakan peralihan daripada robot humanoid tradisional yang ditutup dengan kulit kelihatan tulen yang selalunya diperbuat daripada getah silikon, tidak boleh berpeluh atau menyembuhkan dirinya sendiri.

Matlamat saintis adalah "untuk memberikan robot dengan keupayaan penyembuhan diri yang wujud dalam kulit biologi".

Dalam kajian terdahulu mereka mencantumkan kolagen pada luka pada kulit yang tumbuh di makmal yang meliputi jari robot untuk menunjukkan bagaimana ia boleh dibaiki.

Tetapi mereka berkata, ujian pembaikan serupa pada kulit robot mereka yang tersenyum itu "adalah cabaran masa depan".

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:26 PM