Bella Astillah. Foto Rohanis Shukri
Bella Astillah. Foto Rohanis Shukri
Georgie Joseph


Bukit Jelutong: Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan suaminya Aliff Aziz pernah meluahkan hasrat untuk memilih haluan masing-masing secara baik pada awal Februari lalu.

Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata dia terkejut dengan permintaan berkenaan kerana rumah tangga mereka berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah.

Katanya, pada 14 Februari lalu Aliff meluahkan hasrat bercerai dan sekali lagi meluahkan keinginan sama pada 31 Mac lalu selepas selesai penggambaran drama dengan alasan sudah tiada keserasian dalam rumah tangga mereka.

"Aliff mengaku sudah tiada perasaan dan tak rasa apa-apa. Saya pelik kenapa tiba-tiba dan masa itu, saya memang tak tahu kewujudan Ruhainies. Saya merayu dan pujuk Aliff.

"Jujurnya, sepanjang menanti hari bercerai, saya bagaikan tiada semangat. Kemudiannya, Allah tunjukkan kes khalwat, rupanya itulah jawapan dan sebab Aliff tak balik rumah dan mahu bercerai.

"Kalau sekali curang mungkin kita anggap kesilapan dan boleh memaafkan kerana semua orang buat silap. Tapi, kalau sudah 11 kali curang, mahkamah syariah jawapannya," katanya.

Tambah Bella, dia percaya kebenaran akan terbukti jika seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan.

"Terima kasih banyak-banyak sebab awak, anak-anak saya kehilangan bapa. Terima kasih juga Aliff sanggup menipu untuk nampak awak tidak salah. Tapi, saya percaya salah tetap salah dan orang akan ingat sampai bila-bila kes khalwat ini," katanya.

Terdahulu, Bella menjadi bualan ramai apabila didakwa mempunyai hubungan asmara dengan pelakon baharu, Muaz. Akaun TikTok dikenali @edisiumat memuat naik beberapa tangkap layar didakwa perbualan Bella bersama Muaz.

Pendedahan dibuat itu turut memaparkan tangkap layar perbualan mesej Bella dan Muaz saling berbalas menggunakan kata-kata panggilan mesra. Hubungan terbabit didakwa sudah berlangsung sejak Oktober tahun lalu.

Pada 9 Mac lalu, Aliff dan aktres Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. Kemudian Bella memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres pada 13 Mac.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia tujuh dan empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 12:03 PM