Caprice
Caprice

Kuala Lumpur: Selepas hampir menjadi 'jaguh kampung' apabila berjaya mendapatkan Aliff Aziz, Bella Astillah, Ruhainies dan Sarah Yasmine dalam satu pertemuan yang dijangka berlangsung hari ini, namun pempengaruh Caprice terpaksa menarik diri selepas Sarah nekad mendedahkan hubungan Aliff bersama Ruhainies di media sosial miliknya malam tadi.

Caprice berkata, tindakan yang dibuatnya antara lain hanyalah untuk menjernihkan segala kemelut yang berlaku selepas dihubungi Sarah yang meminta bantuan susulan kemelut hubungannya dengan Aliff sehingga berjaya mendapatkan semua individu yang terbabit dalam satu lokasi yang sama.

"Dia (Sarah) yang minta tolong, tapi bila kita dapat semua pihak untuk berdamai secara tertutup di rumah saya pagi esok (hari ini), tiba-tiba dia sendiri yang tukar rancangan saat akhir.

"Lain kali jangan cari saya kalau nak tukar rancangan saat-saat akhir macam ini sampai peminat kalian nak serang isteri saya tanpa sebab," katanya

Caprice menulis perkara itu di Instagram berserta tangkap layar mesej dia bersama Sarah serta rakaman perbualan mereka yang berdurasi lebih 40 minit.

Menerusi sebahagian rakaman audio itu, Sarah meluahkan isi hatinya dan meminta bantuan Caprice apabila mendakwa Aliff menipu serta menjalinkan hubungan bersama Ruhainies.

Dalam masa sama, Caprice masih meletakkan harapan agar kontroversi panas membabitkan Aliff, Bella dan Ruhainies menemui titik noktah dan berdamai.

"Saya sangat berharap semua pihak cuba berdamai pagi esok (hari ini) jam 11 pagi.

"Pejabat saya sentiasa terbuka untuk anda semua, kecuali seorang wanita yang tiba-tiba menukar rancangan pada saat akhir (merujuk Sarah),"katanya.

Dalam pada itu, dalam hantaran berasingan Caprice turut menghubungi Aliff dan pernah memberi nasihat supaya dia membuat laporan polis berhubung dakwaan Bella berlaku curang.

"Saya nasihat Aliff serah segala bukti 400 gambar, video kepada pihak polis. Dia buat sebelum raya, cuma dia tak bagi tahu sesiapa atau muat naik sebarang hantaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 11:36 AM