RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
RAZARUDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sejumlah 4,612 unit rumah kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dibaik pulih menerusi 465 projek membabitkan dana keseluruhan bernilai RM 112.6 juta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kerja naik taraf turut meliputi pembaikan saluran paip, pendawaian dan meluaskan unit rumah bagi keselesaan penghuni kuarters.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijalankan menggunakan peruntukan yang diumumkan kerajaan menerusi belanjawan 2023 bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan milik PDRM.

"Sejumlah RM14.4 juta peruntukan dimanfaatkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian 286 unit kuarters lama PDRM berkeluasan di bawah 700 kaki persegi (65 meter persegi (m²)).

"Sebanyak 286 kuarters dua bilik berkenaan diubah suai kepada 143 unit kuarters berkeluasan 1,200 kaki persegi (111.48 m²) yang mempunyai tiga ke empat bilik," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Jun 2024.

Menurutnya, pengubahsuaian yang menjadikan dua unit rumah sebagai satu diharap dapat memberikan keselesaan kepada penghuni kuarters berkenaan dengan ruang yang lebih besar.

Katanya, peruntukan turut disalurkan bagi menambah baik infrastruktur balai-balai, pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai sebahagian permulaan kepada kerangka pembangunan di bawah Malaysia Madani.

"Komitmen ini diteruskan dengan pengukuhan peruntukan pada tahun ini berjumlah RM11.656 bilion, pertambahan sebanyak RM661.59 juta iaitu peningkatan 6.02 peratus berbanding peruntukan tahun 2023.

"Sebanyak 12 projek di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.35 bilion adalah jumlah projek paling banyak diluluskan," katanya.

Razarudin berkata, peruntukan berkenaan membabitkan projek pembinaan di ibu pejabat polis (IPD), balai, kuarters perumahan, dan lain-lain fasiliti.

Antara lokasi terbabit adalah IPD Kemaman dan Balai Kijal, Terengganu; IPD dan Balai Padang Besar, Perlis; IPD dan Balai Nabawan, Sabah; Balai Jelutong, perumahan polis Pulau Pinang, bengkel Pengangkutan IPK Kedah dan menara tinjau Pos Batu Putih, Perlis.

"Justeru, saya menggesa setiap warga pasukan agar sentiasa mensyukuri nikmat kemudahan dan fasiliti yang disediakan.

"Tingkatkan penerapan dan amalan budaya disiplin yang mementingkan kebersihan serta memelihara setiap kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk kesejahteraan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:01 PM