Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Kumpulan XPDC Kita Pengyu (KPY) menggesa semua pihak agar tidak melayan serta menolak sama sekali kewujudan band tiruan yang mencari populariti mudah dengan menggunakan nama dan lagu-lagu mereka. 

Pemain bass, Zuar berkata, band sebegini tidak seharusnya dilayan, bahkan jauh sekali tidak layak untuk bersaing dalam industri muzik tanah air.

"Mereka bukan sahaja tak menyumbang kepada industri malah merosakkan kualiti lagu yang dimainkan memandangkan mutu persembahan mereka tak mencapai paras standard yang sepatutnya.

"Band yang cuba meniru ini sepatutnya dianggap sama seperti 'perompak' hasil karya yang tak malu menjaja maruah mereka dengan perbuatan yang sering sahaja mengundang cemuhan peminat XPDC Kita Pengyu.

"Kami sentiasa memerhati keadaan. Malah satu ketika rasa amat simpati dengan mereka yang ada masanya seperti pengemis yang mahukan perhatian orang ramai untuk meminati mereka. 

"Pada masa sama, mereka seakan terlupa bahawa kerja mereka tak lain hanya mencuri nama dan lagu untuk mengaut keuntungan peribadi semata-mata," katanya tegas. 

Zuar kesal kerana band terbabit menjaja nama XPDC sebagai cara  menarik perhatian dan  minat orang ramai. 

"Orang pasti tak pedulikan mereka jika gunakan nama sendiri. Tambah lagi bakat mereka tak meyakinkan sehingga sentiasa mengundang kritikan semua pihak. 

"Kami juga berasa lucu dengan dakwaan seorang individu yang mahu namanya digelar 'Bapa XPDC' sedangkan dia tidak terbabit langsung dengan XPDC. 

"Dia mendakwa kononnya syarikat rakaman Life Records memberi restu dan mengiktiraf individu serta aktiviti mereka, tapi ia hanya sekadar publisiti murahan untuk mendapat tempat di kalangan media dan peminat semata-mata," katanya. 

Zuar menafikan syarikat rakaman terbabit mengenali mereka, bahkan kewujudan band tiruan ini tidak pernah tercatat dalam sejarah XPDC dan Life Records. 

Sementara itu, pengurus XPDC Kita Pengyu, Yazid Selamat berkata, Life Records mempunyai hubungan akrab dengan pihaknya sehingga kini.

Menurutnya, sepanjang XPDC Kita Pengyu ditubuhkan tidak pernah pula nama individu berkenaan disebut oleh syarikat rakaman terbabit atau menyatakan peranan yang pernah dimainkan oleh beliau baik dalam perjalanan seni XPDC ataupun dalam industri.

Terdahulu pada Oktober 2017, Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin menerusi Harian Metro mengeluarkan kenyataan membenarkan XPDC Kita Pengyu dan XPDC Militia menggunakan nama XPDC. 

XPDC Kita Pengyu membariskan anggota asal Zuar, Amy (pemain dram) manakala anggota baru Jeff (pemain gitar) dan Ary menggantikan tempat Mael sebagai vokalis.

Sementara XPDC Militia pula menampilkan anggota asal, Izo (pemain gitar) dan Ali yang pernah bersama mereka menerusi album Samurai pada 1998 sebagai vokalis. Bagaimanapun tempat Ali kini digantikan oleh Zul Fazli atau Mamu memandangkan Ali berdepan masalah kesihatan. 

Anggota lain ialah Arif (pemain gitar), Eddie (pemain bass) dan Lola (pemain dram).

Konflik penggunaan nama XPDC oleh band tiruan ini tercetus dan semakin menjadi-jadi sejak penyanyi asal kumpulan terbabit Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael meninggal dunia pada April 2023.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:48 PM