RUJA Ignatova. FOTO Facebook
RUJA Ignatova. FOTO Facebook
Agensi

Washington: Ganjaran AS$5 juta (kira-kira RM23.6 juta) ditawarkan dalam usaha memburu "Cryptoqueen" atau Permaisuri Kripto, Ruja Ignatova, yang dalam buruan.

Sky News melaporkan Ignatova kelahiran Bulgaria, yang mempunyai kewarganegaraan Jerman, berada dalam senarai paling dikehendaki Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sejak 2022 kerana penipuan dan pengubahan wang haram.

Dia yang berusia 43 tahun dituduh menipu pelabur daripada AS$4 bilion (kira-kira RM18.9 bilion) dengan menjual mata wang kripto palsu yang dipanggil OneCoin, yang diasaskan di Sofia, Bulgaria, pada 2014.

FBI menggelar OneCoin sebagai "satu daripada skim penipuan global terbesar dalam sejarah", dan sebelum ini menawarkan ganjaran AS$100,000 (kira-kira RM471,893) untuk penangkapan Ignatova.

Agensi penyiasatan Amerika Syarikat (AS) itu kemudian menaikkan jumlah itu kepada AS$250,000 (kira-kira RM1.16 juta), sebelum Program Ganjaran Jenayah Terancang Transnasional di bawah Jabatan Negara AS menaikkan ganjaran berkenaan kepada AS$5 juta (kira-kira RM23.6 juta).

"Ignatova dipercayai mengembara dengan pengawal bersenjata dan/atau bersama rakan sekutunya. Ignatova mungkin menjalani pembedahan plastik atau mengubah penampilannya," menurut poster disiarkan FBI.

Sementara itu, ketua pendakwa di Bulgaria pada Rabu berkata, Ignatova yang menghilangkan diri pada akhir 2017, akan didakwa kelak.

"Dia juga akan didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh) di negara kami yang akan membolehkan permulaan prosedur untuk rampasan hartanya yang diperoleh secara haram," katanya.

FBI percaya Ignatova boleh menggunakan pasport Jerman untuk melancong ke negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rusia, Greece dan Eropah Timur.

Pergerakan terakhir Ignatova yang diketahui ialah menaiki penerbangan Ryanair dari Sofia ke Athens pada 25 Oktober 2017.

FBI selepas memasukkan wanita itu ke senarai paling dikehendaki berkata, ia percaya dia melarikan diri dengan "jumlah wang tunai yang banyak" - cukup untuk "membeli ramai kawan".

Terdapat juga spekulasi dia mungkin dibunuh atas arahan 'Godfather' mafia Bulgaria.

Pengasas bersama OneCoin, Karl Sebastian Greenwood dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Amerika Syarikat, tahun lalu, dan diarah membayar balik AS$300 juta (kira-kira RM1.4 bilion).

Mata wang kripto palsu memperoleh jumlah laba yang besar menggunakan model skim piramid yang menawarkan komisen untuk ahli untuk menarik orang lain untuk menyertai pelaburan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 11:58 AM