Bella Astillah
Bella Astillah

Kuala Lumpur: Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba nama pelakon Bella Astillah menjadi bualan ramai apabila didakwa mempunyai hubungan asmara dengan pelakon baharu, Muaz Zabir.

Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok dikenali @edisiumat, akaun itu memuat naik beberapa tangkap layar didakwa perbualan Bella bersama Muaz.

"Sekarang baru faham kenapa. Ini baru tunjuk sikit," tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Pendedahan yang dibuat akaun itu turut memaparkan tangkap layar perbualan mesej Bella dan Muaz yang saling berbalas menggunakan kata-kata panggilan mesra.

Lebih mengejutkan hubungan terbabit didakwa sudah berlangsung sejak Oktober tahun lalu selain mereka kerap berkongsi foto rutin harian dalam mesej yang dihantar.

Bella bersama Muaz. FOTO Ihsan pembaca
Bella bersama Muaz. FOTO Ihsan pembaca

Pada hantaran sama, akaun itu turut memuat naik swafoto mereka yang kelihatan begitu romantis.

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen seakan-akan tidak percaya dengan apa dipaparkan akaun berkenaan selain tetap menunjukkan sokongan kepada aktres terbabit.

"Kenapa aku nampak gambar Bella dalam mesej itu seperti disunting.

"Aku sokong. Sebab alif boleh buat kenapa bella tak boleh.

"Kantoi tak kantoi, saya tetap sokong Bella. Asyik dia disakiti, dia pun layak bahagia," tulis beberapa pengguna akaun.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Bella bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab.

Meninjau ke akaun Instagram Muaz juga mendapati dia menutup ruang komen selain memadam beberapa gambar miliknya.

Bella dan Muaz dikatakan pernah bekerjasama dalam sebuah drama pada September tahun lalu.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan aktres Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Kemudian pada 13 Mac lalu, Bella memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres dan kes itu akan disebut semula esok di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia tujuh dan empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 2:02 PM