AMAR ketika hadir  Kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AMAR ketika hadir Kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah mengikut Perlembagaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apabila berlaku pengosongan kerusi sesebuah kawasan, maka perlu dijalankan pilihan raya dan proses itu tidak sepatutnya dihalang.

"Kita amat bersetuju dengan keputusan mahkamah kerana proses pilihan raya semula ditentukan oleh Perlembagaan. Jadi tak sepatutnya dihalang atau (jika) dia (Mohd Azizi) nak bicara, itu kemudian.

"Kita harap pilihan raya dapat dilaksanakan mengikut Perlembagaan sebab dalam Perlembagaan disebut dengan jelas apabila SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dapat notis, hendaklah adakan pilihan raya dalam masa 60 hari," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan injunksi sementara Mohd Azizi untuk menghentikan PRK DUN kawasan itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain selepas memutuskan bahawa Mohd Azizi tidak berdepan kemudaratan sekiranya PRK itu dijalankan kerana beliau masih boleh menyertai pilihan raya berkenaan.

Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa injunksi sementara itu tidak boleh diberikan bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang ditemui selepas menyampaikan kuliah pagi di Medan Ilmu, di sini berkata, beliau berharap keputusan pengosongan kerusi yang dibuat di DUN Nenggiri itu akan diikuti untuk kerusi Parlimen Gua Musang.

"Kita harap keputusan di Kelantan ini yang mengosongkan kerusi (DUN) itu akan diikuti Parlimen (Gua Musang) sebab peruntukan yang ada di Kelantan sama saja seperti di Persekutuan.

"Pindaan Perlembagaan itu kita buat betul-betul ikut Parlimen, 'word by word', tak ubah pun jadi kalau di Kelantan gugur, sepatutnya di Parlimen (perlu) menurut Perlembagaan," katanya.

Ditanya mengenai persiapan parti PAS untuk PRK yang akan diadakan nanti, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, jentera parti sudah bergerak sebaik isu berkaitan Mohd Azizi timbul.

Beliau berkata, sudah menjangkakan PRK bakal berlaku susulan konflik yang timbul termasuk parti BERSATU sendiri membuat pindaan Perlembagaan, maka jentera PAS mula digerakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 12:34 PM