Jasmin Hamid.
Jasmin Hamid.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Jasmin Hamid, perlu menjalani proses berpantang daripada makan makanan pejal selama sebulan selepas menjalani pembedahan bariatrik pada 22 Februari lalu.

Jasmin, 52, berkata, doktor menasihatkannya agar menjaga pemakanan dan perutnya memandangkan masih lagi dalam minggu pertama selepas pembedahan.

"Dalam sebulan pertama ini, saya tak boleh makan makanan pejal lagi. Jadi, kena berpantang. Sejak selesai pembedahan, saya hanya boleh minum air biasa, air kelapa dan susu protein sahaja untuk tenaga.

"Dalam sehari, sekurang-kurangnya saya kena minum antara 2.6 hingga 3 liter air supaya tidak terdehidrasi.

"Masuk minggu kedua, barulah saya boleh perlahan-lahan mula makan makanan pejal yang lembut seperti taufu dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Jasmin, ini adalah pengorbanan yang perlu ditempuhinya demi menjaga kesihatan tubuh badannya untuk jangka masa panjang.

"Saya perlu mengehad dan menjaga pemakanan saya sebab nak sihat. Daripada satu hari nanti saya sakit dan tak dapat makan apa-apa langsung, baik saya mula jaga dari sekarang.

"Menurut doktor, berat saya akan turun antara 15 hingga 20 kilogram selepas ini dengan syarat, saya kena jaga pemakanan.

"Kalau tak jaga, kemungkinan untuk berat saya naik dua kali ganda adalah tinggi. Jadi, tak bermakna kalau kita menjalani pembedahan bariatrik, kita akan kekal kurus.

"Selain itu, doktor juga menyarankan agar saya melakukan aktiviti berjalan kaki untuk jantung sebab saya tak boleh melakukan senaman berat," katanya.

Jasmin menjalani pembedahan bariatrik minggu lalu di sebuah hospital swasta di Bangsar selepas menerima nasihat doktor dan lulus ujian kesihatan jantung yang sebelum ini berdepan komplikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 4:41 PM