Heykal pada 2018 (gambar kiri) dan penampilan terkini Heykal bersama isteri.
Heykal pada 2018 (gambar kiri) dan penampilan terkini Heykal bersama isteri.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Potong usus? Tidak ada masa nak buat. Buang duit saja. Kalau boleh buat cara yang mampu iaitu dengan mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam, buat saja. Tapi kalau mampu dengan cara pembedahan, terpulang. Masing-masing punya selera dan pilihan."

Demikian kata pengarah terkenal Heykal Hanifah, 48, mengenai susuk badannya yang semakin kurus hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet dan segelintir pihak yang mendakwa dirinya membuat pembedahan bariatrik semata-mata untuk kurus.

Heykal berkata, sejak Mei 2019 dia mengamalkan diet pemakanan termasuk memakan 10 hingga 12 biji telur sehari hingga mencapai berat sekarang 75 kilogram (kg).

"Masa kahwin dengan Faezah Elai pada September 2011, berat saya 121kg. Ketika itu kerja saya makan saja. Tak makan masa tidur saja. Sampai berat turun naik dalam lingkungan 115 hingga 118kg hingga Mei 2019. Masa Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 pun masih 118kg.

"Selepas itu ambil keputusan, lagi pula anak-anak kecil lagi dan masih sekolah, takutlah kalau jadi apa-apa masalah atau sakit. Dengan kesedaran itu, saya dan isteri ambil langkah amalkan gaya hidup sihat iaitu diet. Macam-macam diet saya buat dari segi pemakanan. Isteri yang banyak uruskan pemakanan saya sampai sekarang. Saya tahu kalau lapar, dia buatlah apa yang patut. Cuma, tahap kelaparan tak macam dulu.

"Sepanjang diet hingga sekarang, teruk juga menu saya. Ada sampai tiga bulan makan telur saja setiap hari iaitu 10 hingga 12 biji sehari dengan pelbagai jenis masakan. Hinggakan saya terkena penyakit Gerd disebabkan diet teruk. Tapi sekarang alhamdulillah okay dah selepas jumpa doktor dan diberikan ubat. Doktor juga menyarankan menu yang boleh dimakan. Dalam masa sama, saya juga tak makan nasi dari 2019 sampai sekarang. Tak ada apa yang pelik pun. Alhamdulillah, berat sekarang dah 75kg," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Heykal juga suami kepada pelakon Faezah Elai, disebabkan masalah berat badan itu dia mengalami masalah sakit pinggang dan kesukaran ketika menunaikan solat.

"Ketika berat masih lebih 100kg nak solat dan duduk antara dua sujud pun susah. Saya juga sakit pinggang sebab terlalu berat. Tapi, selepas amalkan diet pemakanan berat menjadi 85kg hinggakan ketika menghadiri Anugerah Skrin 2019 kecoh sampai orang tak kenal sebab dah kurus. Berat ni turun berperingkat, tidaklah mendadak.

"Nak tengok perkembangan badan saya semua ada di Intagram. Siapa 'follow' saya memang nampak perkembangan. Tidak adalah mendadak turun. Mungkin lepas ni kalau tak jaga naik balik, tapi tak nak lah. Tahap kolestrol, kencing manis, dan lain-lain semua dah normal. Sebelum ni semua di tahap 'border'. Alhamdulillah sekarang dah okay dan semoga dapat teruskan gaya hidup sihat ini.

"Sejak 2019 juga saya pergi gimnasium. Kebetulan adik Faezah jurulatih di situ, jadi dia banyak bantu. Masa tu banyak buat 'cardio' sebab badan besar. Apabila dah kecil ni kena buat senaman 'body lifting'. Dulu setiap hari jogging 7km di kawasan perumahan. Makan kena jaga dan tak ambil minuman manis. Karbohidrat banyak 'cut', lebihkan ambil protein, ayam, ikan, telur, itu saja. Kalau pergi gim tak nak makan, ambil protein bentuk serbuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 3:26 PM