KEADAAN sebelum dan selepas Muhammad Azreen Abu Bakar disahkan menghidap diabetes. FOTO Muhammad Azreen Abu Bakar
KEADAAN sebelum dan selepas Muhammad Azreen Abu Bakar disahkan menghidap diabetes. FOTO Muhammad Azreen Abu Bakar
Redzuan Muharam


Ayer Keroh: Rutin gaya hidup sihat dengan Muhammad Azreen Abu Bakar tidak dapat dipisahkan malah dia seorang yang sangat menjaga pemakanan.

Bagaimanapun, takdir menentukan Muhammad Azreen, 32, diuji dengan diabetes empat bulan lalu.

Lebih mengejutkan, Muhammad Azreen menerima berita itu selepas dua minggu mendirikan rumah tangga.

Eksekutif Pemasaran Digital itu berkata, ada beberapa simptom dialaminya, salah satunya adalah penurunan berat badan yang agak drastik dan kebas anggota badan.

"Saya ingatkan (penurunan) normal kerana aktif bersukan seperti berjoging, melakukan senaman bebanan, bermain tenis dan mendaki.

"Tapi isteri doktor dan dia nampak saya ada simptom diabetes yang ketara.

"Bagi mendapat kepastian, saya ikut nasihatnya pergi menjalani pemeriksaan kesihatan kemudian doktor mengesyaki saya hidap diabetes jenis dua sejak lebih dua tahun lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Azreen berkata, pengesahan doktor itu ibarat peringatan kepadanya untuk kembali mengambil pemakanan sihat.

Ia kerana sebelum ini, Muhammad Azreen gemar mengambil makanan dan minuman manis walaupun kerap menasihati orang di luar sana mengenai kepentingan gaya hidup sihat.

"Terkejut apabila diberitahu doktor yang saya hidap diabetes kerana saya ajar orang ambil makanan sihat tapi tak amalkannya dan bersikap 'endah tak endah'.

"Buktinya, saya ikutkan kehendak diri dengan minum kopi sampai tiga hingga empat cawan sehari, makan makanan yang ada banyak karbohidrat pada sebelah malam dan makan manisan walaupun saya adalah jurulatih penurunan berat badan.

"Jadi, agak 'down' (hampir putus asa) juga pada awalnya apabila dapat tahu ada penyakit namun isteri banyak membantu memberi sokongan kepada saya hingga saya bangkit semula," katanya.

Menurut Muhammad Azreen, doktor memberinya dua pilihan sama ada menggunakan insulin atau ambil ubat disamping menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup sihat.

"Saya pilih untuk jaga pemakanan jadi latih diri untuk ada minda dan kesedaran untuk tak makan macam dulu.

"Itu cabarannya kerana sudah terbiasa tapi saya cuba dengan makan beras perang dan guna susu segar untuk membuat kopi jika teringin sangat.

"Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah dan peringatanNya untuk lebih menjaga kesihatan ," katanya

Lantaran apa yang berlaku, Muhammad Azreen berkongsi pengalamannya di TikTok menerusi perkongsian video dengan harapan dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya diabetes.

"Apa saya kongsikan berdasarkan pengalaman sendiri kerana ia berlaku kepada saya.

"Jadi, saya harap perkongsian saya itu bermanfaat dan kalau boleh, janganlah ada stigma bahawa diabetes hanya menyerang orang berbadan besar atau ada sejarah keluarga saja kerana yang kurus atau aktif sukan juga berpotensi kena jika tak jaga makan," katanya yang merancang mengadakan podcast mengenai perkongsian gaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 2:51 PM