IFA Raziah
IFA Raziah
Syafil Syazwan Jefri


Selain berpenampilan menarik, golongan artis juga perlu sentiasa menjaga kesihatan bagi memastikan karier berjalan dengan lancar.

Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara, Ifa Raziah, timbul rasa ingin menjaga kesihatan selepas dia melalui pelbagai kepayahan selepas mengalami masalah kesihatan.

“Seperti yang ramai sedia maklum, sebelum ini mengalami beberapa masalah kesihatan dan berat badan saya juga naik mendadak.

“Untuk itu, saya kini lebih berhati-hati dalam pemakanan dan menjaga kesihatan dengan lebih terperinci. Bagi memastikan berat badan saya turun, saya menjalankan diet air,” katanya.

Menurut Ifa, dia menolak semua makanan pejal dan hanya meminum air dan makanan seperti sup saja.

“Sebelum ini, saya cuba makan telur rebus memandangkan ramai yang mengatakan ia adalah diet yang efisien. Tapi, nampak gayanya, ia tidak sesuai untuk saya.

“Jadi, saya cuba untuk tidak mengambil makanan pejal dan hanya minum air. Pada peringkat awal, memang sangat sukar, tapi itu yang berkesan.

“Dalam tempoh dua bulan, saya turun sebanyak 12 kilogram (kg). Daripada berat 71kg, kini turun kepada 59kg,” katanya.

Ifa juga menyeru orang ramai bersama-sama menjaga kesihatan sekali gus dapat mengelak dari dijangkiti pelbagai penyakit.

“Kalau boleh sentiasa berhati-hati. Tak semua makanan yang kita makan boleh menjadikan kita sihat. Apabila sudah sakit, sudah terlambat untuk kita menjaga kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa turut menolak dakwaan dan kecaman netizen yang mengatakan dia menjalani proses menyedut lemak bagi mendapatkan bentuk tubuh seperti sekarang.

“Memang saya pernah merancang berbuat begitu ketika berat badan saya naik mendadak beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, selepas mendapatkan nasihat doktor, saya tidak digalakkan untuk melakukan prosedur itu.

“Jadi, kepada yang menuduh saya menjalani proses membuang lemak, iya memang saya ada merancang tapi saya tidak melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 6:42 AM