SHAKILLA hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
SHAKILLA hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Ramlah Zainal


Shah Alam : "Bila dia (Fizi Ali) kata nak jumpa anak, saya pun 'happy' (gembira) dan beri sajalah dia ambil Ameena selama empat hari," kata pelakon, Shakilla Khoriri.

Shakilla berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat bekas suaminya, penyampai radio Hot FM, Fizi Ali untuk bertemu Ameena akhirnya dibenarkan pihak mahkamah, hari ini.

Menurut Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri, hatinya terbuka membenarkan Fizi untuk bertemu dengan Ameena selama empat hari bermula 1 Mac ini atas persetujuan kedua belah pihak.

Katanya, dia berasa sangat gembira bila Fizi menyatakan keinginan untuk berjumpa dengan Ameena.

"Sebagai ibu, saya beri sajalah dia (Fizi) untuk ambil anak. Lagi cepat dia ambil pun tak apa.

"Saya pun tak mahu lebih ramai orang terkesan dengan keadaan yang sedang berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Shakilla ditemui selepas prosiding sebutan kes hadanah pertama di hadapan pendaftar di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Mengenai kes hadanah lagi, kata Shakilla, dia juga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sekali gus menyebabkan anaknya terkesan dengan situasi yang berlaku.

"Saya buat keputusan untuk benarkan Fizi bertemu anak ini untuk menjaga 'mental health' (kesihatan mental) Ameena sebab saya tak nak dia terkesan dengan keadaan yang berlaku disebabkan oleh kesalahan ibu ayahnya sendiri," katanya.

Menurut Shakilla lagi, dia juga tidak mahu kes hadanah itu berpanjangan.

"Kalau boleh hari ini saya nak bawa dia berjumpa dengan ayahnya.

"Tetapi saya tak mahu Ameena lihat keadaan yang berlaku hari ini sebab dia masih kecil, baru berusia lima tahun. Apa yang berlaku hari ini tak bagus untuk dia," katanya.

Terdahulu, prosiding Sulh tidak menemui jalan penyelesaian apabila kedua-dua belah pihak tiada kata sepakat mengenai kes tuntutan hadanah yang difailkan Fizi pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai dua tahun kemudian.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Ameena Sofia, 5.

Fizi kemudiannya mengumumkan sudah menamatkan zaman duda dengan seorang ibu tunggal anak satu yang juga ahli perniagaan iaitu Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu.

Lepas tiga bulan tak bertemu, Fizi akhirnya dibenarkan jumpa Ameena

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:25 PM