MEMPERTARUHKAN lagu Mirame berentak Latin sebagai single kedua.
MEMPERTARUHKAN lagu Mirame berentak Latin sebagai single kedua.
Ridzuan Abdul Rahman


Barangkali ada peminat masih mengingati Amiesyha di mana lagunya pernah meniti di bibir peminat ketika berduet dengan Noki K-Clique menerusi lagu Gegar sekitar dua tahun lalu.

Malah lagu berentak hip hop itu juga menjadi runut bunyi (OST) untuk filem Daddyku Gangster yang ditayangkan pada 2022.

Selepas dua tahun mendiamkan diri, Amiesyha atau nama sebenarnya Ismar Amiesyha Ismail kini muncul dengan 'buah tangan' terbaharunya iaitu sebuah lagu irama Latin iaitu berjudul Mirame.

"Lagu ini sepatutnya menjadi single pertama buat saya dalam usaha mengejar impian menjadi penyanyi dalam industri seni tanah air.

"Sebenarnya pada 2022, saya sempat merakamkan dua lagu bermula dengan lagu ini terlebih dahulu. Kemudian saya rakamkan lagu Gegar.

"Bagaimanapun, lagu Gegar terlebih dahulu diterbitkan memandangkan ia dijadikan sebagai OST untuk filem Daddyku Gangster. Saya akur sahaja dengan cadangan ini," katanya.

Mirame mendapat sentuhan komposer serta penulis lirik Datuk Ayu Omel dan Budakbro menampilkan kelainan tersendiri.

Bagi Amiesyha, pemilihan irama Latin untuk single baharunya itu dibuat kerana dia membesar dengan lagu Latin.

"Kalau lagu sebelum ini (Gegar) berentak hip hop, untuk lagu ini saya inginkan ada 'vibes' Latino kerana saya cukup menggemari irama Latin yang mempunyai keunikan tersendiri.

"Lagu Mirame ini menjadi inspirasi buat saya untuk bergelar penyanyi dan syukur impian itu jadi kenyataan.

"Bait-bait lirik dalam lagu ini berkisarkan berkenaan kekuatan diri seseorang untuk tidak mengendahkan sebarang kata-kata negatif orang lain," kata penuh yakin.

Menurut Amiesyha, Mirame adalah perkataan dalam bahasa Latin yang bermaksud 'Look At Me' (Lihatlah Saya).

"Ia adalah sebuah lagu hype yang menjelaskan kepada pendengar, sejauh mana orang tak suka kepada kita, kita tak perlu hiraukan apa yang mereka nak kata. Biar orang lihat sendiri bakat dan kebolehan kita.

"Macam saya sendiri, apabila nak menjadi penyanyi ada segelintir yang skeptikal..., yang persoalkan siapa saya yang tiba-tiba nak jadi penyanyi.

"Jadi, saya tak perlu hiraukan pandangan negatif sebegini dan saya mahu menjadi diri sendiri tanpa disamakan dengan orang lain," katanya.

Bercerita harapannya terhadap single ini, Amiesyha menyatakan supaya lagu baharunya itu diterima pendengar.

Menurutnya, ini adalah masa paling tepat untuk dia melancarkan lagu terbabit selepas tersimpan selama dua tahun.

"Lagu ini pun dah siap dirakamkan, termasuk dengan muzik video sekali. Saya juga ada memperdengarkan lagu ini kepada beberapa kenalan dan rata-rata mereka memberikan respons positif dan yakin lagu ini boleh pergi lebih jauh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:56 AM