GIAT memperkenalkan teknologi dapat membantu meningkat produktiviti pereka fesyen tempatan.
GIAT memperkenalkan teknologi dapat membantu meningkat produktiviti pereka fesyen tempatan.
Nurul Husna Mahmud


Tidak ramai golongan hawa tertarik dengan bidang teknologi termasuk dalam industri fesyen.

Sedangkan teknologi sangat membantu terutama aspek rekaan dan kualiti yang membezakan antara pereka fesyen konvensional dengan pereka era baharu.

Pengasas Akademi Zayana Yazed Creations Academy & Atelier, Zayana Yazed ingin 'membuka' mata wanita terutama yang terbabit dalam industri fesyen supaya beralih kepada inovasi terkini terutama teknologi rekaan fesyen.

"Walaupun dalam bidang fesyen, masih ramai wanita skeptikal mengenai teknologi dan mereka memilih untuk kekal dalam kaedah konvensional.

"Sedangkan jika mereka 'bergandingan' dengan teknologi, potensi dan perkembangan produk mereka boleh pergi lebih jauh.

"Itu memberi kelebihan andainya mereka ada atau mahir dalam teknologi termasuk teknologi rekaan fesyen," katanya.

Menjengah pengalaman sendiri yang berkecimpung terlebih dahulu dalam perniagaan jahitan dan pakaian sejak 2015, Zayana berkata, persaingan industri ini cukup besar apatah lagi kehadiran pesaing luar memerlukan pemain industri tempatan perlu kemahiran ekstra.

"Saya pernah lalui beberapa peringkat paling rendah dalam hidup dan karier. Ia termasuk selepas pandemik Covid-19 dalam sekitar 2021 hingga Oktober 2022.

"Bukan sahaja perniagaan jahitan pukal terhenti kerana tiada tawaran atau tender jahitan dalam pasca Covid-19, malah saya hidup atas ihsan kenalan.

"Saya beralih dari rumah flat tinggal dalam kedai sehingga menyewa ke hotel bajet.

"Pada masa sama, saya tetap teruskan bekerja dan meningkat kemahiran diri kerana dalam tempoh itu juga saya membuat peralihan untuk menjadi tenaga pengajar kemahiran.

"Bagaimanapun, saya bersyukur dalam kesempitan masih ada ruang untuk saya cari penyelesaian terhadap perniagaan yang merudum ketika itu," katanya.

Mujur tekadnya ketika itu didorong atas dasar mahu merealisasikan impian sudah lama ingin mengikuti pengajian di London membuatkan dia bertahan dalam keadaan perit itu.

"Mujur saya ini orang yang cepat 'move on' dan tidak meratap nasib untuk tempoh lama.

"Saya kembali fokus dan ketika itu memang fikir cari duit untuk ke London bagi mengikuti kursus pendek di London College of Fashion, University of The Arts.

"Bulan Julai 2022, duit yang dikumpul mencukupi untuk bayar yuran dan tiket penerbangan. Cabaran lain ialah saya masih bergelut untuk cari wang sara diri sepanjang berada dua minggu di sana," katanya.

Namun, wanita kental itu tidak ambil pusing dan tekad untuk berdamai dengan takdir selain percaya dengan ketentuan rezeki.

"Saya bersyukur dalam tempoh sukar terutama ketika bergelar ibu tunggal sejak berpisah dengan suami pertama pada 2019, saya masih boleh berdikari.

"Setiap dugaan datang dengan hikmah. Ketika susah, antaranya dihalau keluar rumah sewa dan anak-anak pula dalam jagaan bekas suami.

"Ketika pandemik Covid-19, saya masih boleh meneruskan hidup dengan bantuan orang dan badan bukan kerajaan (NGO) banyak memberi sumbangan ketika itu.

"Saya juga tidak lupa menyumbang sama apabila mengumpul 60 tukang jahit untuk menjahit pakaian pelindung diri (PPE) bagi petugas barisan hadapan.

"Walaupun keadaan ketika itu bergelar ibu tunggal dan perniagaan jahitan pukal tudung serta kain pasang terjejas, saya masih mampu menggerakkan ibu tunggal dan suri rumah membantu menjahit PPE untuk doktor dan NGO.

"Dalam tempoh pandemik Covid-19 juga, banyak sokongan diterima membolehkan saya bernafas sementara mencari peluang lain dalam perniagaan," katanya.

Zayana turut membina keyakinan diri dengan meningkatkan kemahiran menerusi mengikuti pelbagai kursus dan program latihan profesional untuk menjadi jurulatih.

"Saya sebenarnya sudah ada kemahiran mengajar kerana sebelum menjadi usahawan, saya adalah guru pendidikan khas untuk kemahiran hidup jahitan dan pembelajaran seni visual.

"Apabila menjadi semula jurulatih bagi Sijil Kemahiran Malaysia jahitan tahap dua hingga lima, saya rasa itu masih memenuhi prospek kerjaya masa depan.

"Saya komited baik mengikuti kursus menjadi jurulatih atau pengajar profesional untuk fesyen.

"Malah saya juga mahu membantu usahawan tempatan berkembang dan itu juga mendorong untuk terus tingkatkan kemahiran dengan belajar di luar negara," katanya.

Pembelajaran penting dalam hidup adalah memilih ruang lingkup sosial yang positif dan sihat jika ingin maju.

"Mungkin juga keliling saya adalah kenalan yang banyak memberi impak positif dalam hidup.

"Paling bermakna sokongan suami, Dr Rahmat Iskandar Khairul Shazi yang banyak memberi laluan tepat mengenai perjalanan kerjaya saya.

"Saya selalu ingatkan selain fokus, bina jaringan hubungan yang baik dengan orang sekeliling adalah perlu supaya dapat membantu memberi sokongan dalam keadaan sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 7:01 AM