Kuala Lumpur : "Satu batu besar macam hempap atas kepala saya masa dengar ayat itu," kata pelakon Shakilla Khoriri, 33, selepas dimaklumkan anaknya, Ameena Sofia, 3, positif Covid-19.

Menurut Shakilla, dia sebenarnya tidak sedap hati selepas bermimpi anaknya masuk hospital beberapa hari lalu.

"Dua tiga hari masa Ameena dengan bapa dia, hati ini rasa tak senang. Rasa macam ada sesuatu tak kena dengan Ameena. Mimpi Ameena masuk hospital dua hari berturut-turut.

"Malam tadi, ambil Ameena dekat Fizi, saat saya peluk dia dalam hati cakap anak saya tak 'okay' ini. Mula muntah dari malam tadi bawa sampai ke pagi ini," katanya.

Berita sedih itu dikongsi Shakilla menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menurutnya, dia terus bawa Ameena ke klinik untuk ujian saringan.

"Pagi Ameena bangun tak sempat makan apa semua terus siap pergi klinik buat 'swab' dan dapat jawapan yang buat saya betul- betul kecewa. Dia positif tapi saya negatif.

"Dalam hati fikir macam mana saya nak ganti tempat dia, tapi saya percaya semua ini ada hikmahnya. Minggu depan Ameena masuk tiga tahun," katanya.

Shakilla turut sedih kerana ketika sibuk membuat persediaan sambutan ulang tahun ketiga kelahiran Ameena pada 14 Mac ini, dugaan itu menimpa pula.

Ameena adalah anak hasil perkongsian hidup Shakilla dan penyampai radio Fizi Ali.

Pasangan itu berkahwin pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 5:45 PM