ROSYAM Nor pantas meredakan isu dalam podcast kendaliannya.
ROSYAM Nor pantas meredakan isu dalam podcast kendaliannya.
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Pengguna program atau kandungan video podcast semakin popular dalam kalangan karyawan seni. Masing-masing seperti tidak mahu ketinggalan dengan kepesatan era digital yang makin berkembang di kalangan masyarakat global.

Justeru wujud pelbagai podcast berbentuk hiburan menampilkan selebriti tempatan dengan bermacam pengisian program atau kandungan menarik.

Sekadar memberikan contoh beberapa podcast yang menarik perhatian masyarakat ketika ini antaranya Podcast Apa-Apa Saja, Keluar Sekejap, Music Notes, Nustix.com, PodcasThinker, Borak Dalam Galley, Bilik Gelap dan banyak lagi.

Di negara jiran seperti Indonesia dan Singapura podcast juga antara medium yang digunakan sebagai perantara pilihan ramai.

Teknik podcast seperti temu bual secara santai selain pendedahan peribadi merangkumi isu sensitif dan kontroversi, misalnya dalam hal bertentangan dengan moral dan agama cukup meluas.

Sekali gus menyebabkan ia pantas mengecapi populariti di pelbagai platform media sosial dek kerana konsep yang diketengahkan iaitu seperti membongkar realiti kehidupan sebenar dengan alasan dapat memberi pengajaran dan kesedaran umum.

Begitupun pengendali podcast di negara ini misalnya perlu bijak menangani atau mengupas sesuatu isu itu supaya tidak bertentangan dengan budaya masyarakat terutama membabitkan isu-isu sensitif.

Ambil contoh apa yang berlaku kepada pelakon tersohor tanah air, Datuk Mohamed Noor Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor ketika memberikan pandangan mengenai isu rumah pelacuran sebelum ini.

Sekalipun ia hanya sebahagian daripada klip video penuh program atau kandungan yang dirakam menerusi podcast kelolaan syarikat produksinya.

Isu berkenaan sangat memberikan impak besar hingga viral di media sosial menyebabkan timbul pelbagai persepsi tidak baik.

Bagaimanapun Rosyam pantas meredakan keadaan dengan membuat permohonan maaf secara terbuka untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Beberapa pengendali podcast juga rancak mendedahkan isu kontroversi semasa yang melanda dunia hiburan bagi tujuan meraih jumlah penonton selain terus trending di platform masing-masing.

Antara yang terbaru kemunculan Ratu Rock, Ella menerusi podcast Ella Rasa yang disiarkan sebanyak lapan episod. Di mana penyanyi terkenal tanah air itu berkongsi perjalanan muzik dan kisah-kisah yang belum pernah diceritakan bersama penonton di program itu.

Begitu juga perjalanan menarik di sebalik kisah insan seni bernama Man Bai dan Zarul Umbrella yang berkongsi pelbagai topik menarik serta mencuit hati menerusi podcast kendalian masing-masing.

Tidak ketinggalan penampilan beberapa pempengaruh terkenal dengan konsep dan program podcast mereka.

Ternyata fungsi podcast yang lebih fleksibel dan intensif berbanding siaran radio menyebabkan ia menjadi pilihan.

Jadi penerimaan setiap isu yang disampaikan boleh mendatangkan pelbagai respon masyarakat.

Pengelola podcast harus bijak dalam memastikan segala kandungan atau isu yang diketengahkan sesuai untuk tatapan umum.

Kebebasan yang diberikan dalam menampilkan kandungan perlu diolah dengan baik secara menyeluruh dan dapat memberi impak yang positif kepada penonton.

Bagi industri hiburan juga ini menunjukkan perkembangan yang baik dan memberi lebih banyak pilihan hiburan secara santai buat peminat sekali gus dapat mengenali lebih dekat mengenai kehidupan selebriti pujaan mereka.

Pihak berwajib juga perlu memastikan kandungan yang disiarkan pengelola podcast ini tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat sehingga menyebabkan wujudnya perbalahan antara kaum, diskriminasi gender, kandungan berbentuk hasutan dan lain-lain.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga boleh menjadi orang tengah dalam menerbitkan pelbagai kandungan podcast berbentuk ilmiah berkaitan industri seni selain dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada karyawan seni.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:31 AM