FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

 

Alhamdulillah setinggi syukur, kerana negara sentiasa dikurniakan oleh Allah dengan suasana aman, damai dan penuh keharmonian. Meskipun, penduduk di negara ini membabitkan pelbagai bangsa, budaya dan anutan agama, namun kehidupan masyarakat sentiasa berada dalam suasana saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Inilah antara faktor utama yang memberikan impak positif dalam merancakkan program untuk mensejahterakan masyarakat. Tanpa keamanan, mustahil untuk sesebuah negara itu mencongak pelan pembangunan untuk memberikan kehidupan kondusif dan maju kepada rakyat. Kita sendiri sudah menyaksikan bagaimana dahsyatnya kesan apabila rakyat saling bertelagah sehingga merencatkan apa sahaja program pembangunan.

Malah, baru-baru ini, sebagai rakyat negara bertuah ini turut berasa bangga apabila negara diiktiraf sebagai antara 10 negara paling aman di dunia. Ia menunjukkan mata masyarakat antarabangsa sangat kagum dengan gaya kehidupan masyarakat di negara kita.

Lebih menarik lagi ialah sistem pemerintahan dan pentadbiran negara juga antara yang unik di dunia. Muncul antara negara yang kekal menjadikan demokrasi berperlembagaan dan raja berperlembagaan sebagai sistem politik.

Antara ciri dalam sistem itu ialah adanya pilihan raya baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri. Selain pilihan raya umum, negara kita juga sesekali mengadakan pilihan raya kecil atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan oleh perlembagaan dan amalan sistem demokrasi berparlimen.

Apabila kita sebut sahaja pilihan raya, maka tidak dikecualikan isunya ialah berkaitan kempen untuk menarik hati pengundi bagi memenangkan seseorang calon. Pun begitu, suatu perkara yang sudah sekian lama membarah dalam situasi berkempen itu ialah terdapat kelakuan dan perbuatan yang bertentangan nilai adab dan nilai agama.

Sebenarnya, kita amat memahami 'suhu' kempen pilihan raya amat membahang lantaran masing-masing mahu mengetengahkan watak yang lebih terkehadapan daripada pesaingnya. Ia bukan satu kesalahan, namun yang menjadikan kita turut bersedih ialah apabila kesopanan lidah yang seharusnya dipelihara dengan nilai baik secara drastik bertukar rentak dengan menuturkan bicara pidato yang berbaur fitnah dan keji terhadap pihak lain.

Hal itu seolah-olah, pentas pilihan raya untuk berkempen sebagai 'lesen' untuk menghambur dan mengeluarkan apa sahaja yang dihajati tanpa memikirkan apakah ia sesuatu yang bertepatan dengan nilai dan tuntutan agama atau sebaliknya.

Adalah sesuatu yang amat malang, apabila pilihan raya yang asalnya bermatlamat murni 'dikotorkan' dengan babak bicara tutur keji yang bukan setakat menghiriskan hati pihak lain, tetapi amat dimurkai Allah SWT.

Sesungguhnya, lidah orang beriman tidak mudah untuk berbicara yang keji. Sabda Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi seharusnya menjadi ingatan buat kita semua, begitulah juga untuk mereka yang bergiat ketika berkempen. Ini kerana inti pati pesanan Nabi SAW itu sebagai satu peringatan dan satu pedoman.

Sahabat Nabi SAW, Mu'az ibn Jabal menceritakan bahawa beliau melaporkan, "Aku berkata: Ya Rasulullah! Terangkan padaku suatu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada api neraka."

Lalu Baginda memberikan jawapannya, "Sesungguhnya engkau telah bertanya suatu perkara besar, namun sesungguhnya ia adalah ringan bagi orang yang dipermudahkan Allah; iaitu engkau menyembah Allah, jangan mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah."

Kemudian Baginda meneruskan penerangannya, "Apakah engkau mahu aku tunjukkan beberapa pintu kebajikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah dapat memadamkan dosa seumpama air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki di tengah malam. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran yang bererti: ('Tulang-tulang rusuk mereka telah renggang dari tempat tidur mereka. Mereka menyeru Tuhan mereka dengan perasaan takut dan penuh harapan dan mereka membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Seseorang tidak mengetahui apakah yang disembunyikan bagi mereka yang terdiri daripada perkara yang menyejukkan mata sebagai balasan terhadap amalan yang mereka telah lakukan)."

Kemudian Baginda bersabda: "Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu tunggak segala amal, tiang-tiangnya dan puncaknya? Aku berkata kepada Baginda, 'Mahu ya Rasulullah! Baginda menjelaskan, 'Tunggak amalan ialah lslam, tiang-tiangnya ialah solat dan puncaknya ialah jihad. Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala perkara tersebut?"

Aku berkata: "Mahu ya Rasulullah! Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: Peliharalah benda ini! Aku berkata: 'Ya Nabi Allah! Adakah kita akan diseksa lantaran apa yang dibicarakannya? Baginda bersabda: lbumu akan kehilanganmu wahai Mu'az! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanaman lidah-lidah mereka."

Dalam apapun keadaan ataupun acara dunia, kita tidak sewajarnya mengetepikan asas akhlak dan adab dalam Islam. Ini kerana tiada sempadan batas bagi malaikat Allah daripada mencatat setiap perbuatan dan tutur kata kita.

Justeru, keindahan Islam perlu dibawa ke mana sahaja dan di mana-mana sahaja dalam kehidupan seharian. Keindahan Islam bukan terhad di dalam masjid dan surau sahaja tatkala kita pergi untuk menunaikan solat berjemaah. Tidak juga hanya berbaik indah kata penuh sopan ketika musim perayaan semata-mata. Akan tetapi, keindahan Islam perlu dizahirkan juga dalam masa musim pilihan raya agar pertuturan berdosa tidak dihambur keluar dari mulut.

Jagalah dan peliharalah sekukuhnya etika Islam yang cukup indah dan lemah lembut kerana ia adalah antara asas penting dalam agenda penyatuan dan perpaduan ummah. Bersatu padu bukan sekadar untuk sedap diucapkan lidah semata-mata, sebaliknya ia memerlukan jalinan kolaborasi yang benar-benar erat antara lidah dan hati. Hal ini kerana lidah yang tidak dikawal mampu menyinggung hati orang lain, manakala hati yang telah tersinggung dan terluka akan mengeruhkan suasana menjadi porak-peranda akibat pertelagahan sesama ummah.

Justeru, warnailah dan zahirkanlah keindahan sebenar Islam menerusi tutur kata berbicara yang sopan agar keharmonian hidup dapat kekal dalam situasi aman sejahtera. Berhujahlah dengan penuh hikmah tanpa terbalut dengan unsur mazmumah. Berpidatolah dengan lidah yang 'beriman' kerana orang yang beriman sukar membenarkan lidahnya berbicara yang dilarang Tuhan.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:01 AM