SIKAP pilih kasih ibu bapa dorong anak jadi lebih agresif.
SIKAP pilih kasih ibu bapa dorong anak jadi lebih agresif.
Nurul Husna Mahmud


Berlaku adil kepada setiap anak antara cabaran sukar kerana sudah namanya manusia, akan ada sikap pilih kasih.

Biarpun ibu bapa menegaskan mereka tidak pernah membeza-bezakan anak, tetapi dalam keadaan tertentu sikap mereka itu jelas kelihatan.

Persekitaran sikap pilih kasih itu mempunyai impak buruk terutama terhadap perkembangan sosioemosi anak itu sendiri.

Memetik artikel Avoiding The F Word: Favouritism oleh Perunding Perkembangan Kanak-kanak Dr Rajini Savananthan, sama ada anak yang menjadi pilihan dan tidak, mempunyai implikasi negatif tersendiri.

Menurut pakar itu, anak yang menjadi kesayangan akan mengalami konflik dengan adik-beradik lain disebabkan sikap pilih kasih itu.

"Semua pihak khususnya anak pasti terkesan dengan sikap pilih kasih ibu bapa.

"Biasanya ia berkait dengan tanggapan terhadap layanan dan sikap ibu bapa berbeza apabila peraturan sama diguna pakai terhadap anak lain.

"Reaksi atau efek kepada anak yang tidak mendapat layanan sama adalah tanggapan anak terbabit, contohnya kerja keras dan keazaman tidak akan mendapat ganjaran yang mereka inginkan.

"Keadaan ini meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti agresif, kurang perhatian dan masalah emosi (iaitu kemurungan serta kebimbangan)," katanya.

Sementara bagi anak yang mendapat kelebihan atau layanan lebih daripada ibu bapa menjadi terlalu yakin dan sombong.

"Bagi anak kesayangan, mereka akan beranggapan peraturan ditetapkan ibu bapa tidak terpakai kepada mereka.

"Ini menjadikan mereka 'dipulau' atau tidak disukai adik-beradik mereka. Bukan hanya dengan adik-beradik, kadangkala dengan ibu atau bapa yang mahu mendisiplinkan anak juga menghadapi masalah," katanya.

Dalam menangani isu itu, Rajini turut menyenaraikan beberapa langkah supaya ibu bapa dapat menangani masalah pilih kasih terbabit.

- Selaraskan jangkaan atau sasaran mengikut tahap anak supaya lebih sesuai dengan umur, tahap pembelajaran, personaliti dan lain-lain.

- Sebarang kerja atau tanggungjawab di rumah seperti membuang sampah, mengemop lantai dan membersihkan meja hendaklah diagih secara adil antara adik-beradik walaupun anak paling bongsu. Namun, pastikan tugasan sesuai dengan usia anak terbabit.

- Luangkan masa berkualiti dengan setiap anak sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kadangkala dengan hanya beberapa minit berseorangan dengan anak memberi rasa dihargai atau tanda kasih sayang.

- Berikan setiap anak peluang yang sama untuk berjaya. Bagi tujuan ini, ibu bapa perlu urus sumber kewangan dengan baik. Jadi, rancang lebih awal dan jangan malu mendapatkan nasihat atau idea daripada ibu bapa yang lebih berpengalaman termasuk kaunselor keluarga profesional.

- Pastikan sebarang ganjaran, hadiah atau hukuman yang diterima adalah berkadar dengan umur kanak-kanak. Contoh, ibu bapa tidak sepatutnya bertindak serius terhadap amukan kanak-kanak berusia tiga tahun dengan cara yang sama seperti dilakukan kepada kanak-kanak berumur 13 tahun. Begitu juga dalam memberi ganjaran. Membeli hadiah untuk anak berumur 17 tahun dalam akademik tidak sama nilainya dengan anak berusia 12 tahun.

- Berbincang dan sentiasa dapatkan nasihat serta sokongan daripada pasangan anda. Kadang-kadang beberapa kesilapan hanya jelas apabila dari sesi perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:55 AM