SERONOK mengingati momen zaman persekolahan menerusi Dua Darjat.
SERONOK mengingati momen zaman persekolahan menerusi Dua Darjat.
Ridzuan Abdul Rahman


Pasti ramai penonton drama tanah air tertanya-tanya ke mana menghilangnya pelakon cantik manis, Sharifah Rose dari radar stesen TV3.

Apatah lagi, Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 26, pernah dilabelkan wajah kesayangan TV3 apabila kerap tampil membintangi drama di stesen TV terbabit.

Seakan-akan tahu persoalan ini pasti diajukan, pelakon yang juga pempengaruh media sosial ini tenang memberikan jawapan dia tidak menghilangkan diri ke mana-mana seperti sangkaan ramai.

"Saya juga ada komitmen di luar kerjaya berlakon. Saya menjalankan perniagaan tudung dan saya juga perlu fokus sepenuhnya.

"Saya baru tiga tahun berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Jadi, saya perlu beri fokus yang lebih lagi terutama musim raya.

"Setiap kali bulan puasa dan raya, saya cuba elak menjalani penggambaran. Saya juga minat dengan fesyen yang mana saya cuba terokai secara sambilan," katanya menjelaskan keadaan sebenar.

Rose yang membuat kemunculan sulung menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard berkata, sememangnya agak mencabar juga untuknya cuba membahagikan masa dan fokus terhadap pelbagai perkara dalam satu masa.

"Bagaimanapun, saya tak pernah berniat untuk hilang. Setiap kali ditawarkan berlakon saya pastikan skrip yang saya dapat itu betul-betul berbaloi," katanya.

Rose kini tampil dengan drama terbaharu di TV3 iaitu Dua Darjat gandingannya bersama Aniq Durar dan dia bersyukur diberi kesempatan lagi untuk muncul menerusi slot Akasia.

ROSE kali pertama berlakon cerita cinta remaja, imbau kembali kisah zaman sekolah untuk dalami karakter.
ROSE kali pertama berlakon cerita cinta remaja, imbau kembali kisah zaman sekolah untuk dalami karakter.

"Saya pasti ia dapat mengubat kerinduan peminat. Tak dinafikan ada juga yang sering bertanya bila nak muncul lagi di TV? Baru-baru ini juga telefilem saya, Detik dan drama siri Alice Kampung Baru ditayangkan di platform tonton," katanya.

Setiap kali drama lakonannya ditayangkan, Rose semestinya mengharapkan drama itu memberi impak kepada penonton.

"Pastinya saya berharap penonton suka dengan watak baharu saya. Dengan ilmu yang saya belajar dari drama sebelumnya, semestinya saya cuba membawa lebih warna dan kelainan dalam watak baharu yang diberikan.

"Sebenarnya ini kali pertama saya dapat watak budak sekolah dan cerita cinta remaja. Sangat lain berbanding watak sebelum ini yang lebih matang.

BERSAMA Aniq (tengah) dan Shuhaimi.
BERSAMA Aniq (tengah) dan Shuhaimi.

"Secara peribadi saya sukakan watak ini sebab personaliti dia 'light', ceria, tapi tegas. Dan ini juga kali pertama saya bawa watak heroin yang kena mengurat hero yang jual mahal," katanya.

Rose berkata, babak bercinta di sekolah membuatkan dia mengimbau kembali kisah di zaman sekolah dulu.

"Banyak juga babak yang spontan saya dan Aniq wujudkan untuk mewarnai lagi babak 'sweet' itu. Ini juga kali kedua saya bekerjasama dengan Aniq.

"Daripada semua pelakon, hanya dengan Aniq yang saya pernah kongsi satu 'frame' sebelum Dua Darjat. Aniq boleh dikatakan tiada beza sangat dengan watak Haniff yang dibawa. Dia memang pendiam orangnya.

"Tapi, bila pengarah sebut 'action', dia akan bagi 100 peratus lakonan. Kalau bab untuk membentuk keserasian dalam lakonan memang mudah dan senang untuk bekerjasama," katanya.

Selain itu, Rose juga gembira diberi kesempatan untuk berganding dengan Sharifah Zarina, di mana dia membesar dengan lagu popular penyanyi itu iaitu Langit ke-7.

"Walaupun ini kali pertama dia berlakon, tapi aura dia sebagai ibu yang tegas itu berjaya dibawakan dengan baik dan cemerlang. Begitu juga pelakon lain seperti Yasmin Hani dan Zarul Umbrella banyak membantu saya di lokasi.

SELAIN berlakon, Rose turut aktif berniaga dan bergelar pempengaruh media sosial.
SELAIN berlakon, Rose turut aktif berniaga dan bergelar pempengaruh media sosial.

"Bekerja dengan pengarah, Shuhaimi Lua pula sangat ceria dan mudah. Saya ada bertanya tips untuk persediaan watak Ariana ketika sesi baca skrip. Dia cuma cakap buat saja ikut rasa dan kalau ada kurang nanti dia beritahu.

"Sepanjang penggambaran, Shuhaimi beri saya kebebasan untuk menjadi kreatif di lokasi. Saya rasa puas setiap kali babak saya dapat beri seperti mana saya bayangkan apabila saya membaca skrip. Kalau ada idea spontan pun dia okey saja," katanya.

Mengulas berkenaan popularitinya di mata peminat, Rose berkata, dia aktif di media sosial dan dikenali dengan 'content' hariannya merangkumi fesyen, tips penjagaan kulit dan tutorial mekap.

"Sebelum berlakon, saya sudah aktif di media sosial. Jadi, tak banyak beza sangat kalau bercakap soal populariti.

"Setakat ini saya banyak bawa drama romantik. Kalau diberi peluang saya ingin cuba bawa watak yang lebih berat. Mungkin sebagai gadis kampung atau watak jahat pula.

"Tak lama lagi saya akan mulakan penggambaran di Perlis untuk drama baharu bersama Khai Bahar pula. Insya-Allah," katanya.

Rose berkata, drama komedi lakonannya, Dulu Dolah Daebak juga ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:31 AM