Shakilla Khoriri bersama anaknya Nur Ameena Sofia. FOTO Instagram
Shakilla Khoriri bersama anaknya Nur Ameena Sofia. FOTO Instagram
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Perkongsian video pelakon Shakilla Khoriri mengenai berdamailah dengan jiwa dan hati di laman Instagram (IG) mendapat pelbagai reaksi dari pengikutnya di media sosial.

Menerusi hantaran video dengan iringan muzik latar lagu dendangan Christina Perri berjudul You Are My Sunshine itu, kelihatan bekas suaminya yang juga penyampai radio Hot FM, Fizi Ali sedang mendukung serta mencium anaknya Nur Ameena Sofia.

Menurut Shakilla, dia meminta ibunya merakamkan video terbabit sebagai memori untuknya dan Ameena.

"Sejujurnya, ia bukanlah 'posting' untuk buat beberapa pihak rasa kurang selesa. Aku faham dikala ramai yang mendoakan kesejahteraan hidup aku, Ameena dan daddy Ameena, ada juga manusia yang panas mulut tengok keadaan ini.

"Hopefully, anda Islam dan faham takdir dan ketentuan Allah.

"Aku minta ibu untuk merakamkan video itu sebab setiap perkara yang aku lalui dengan Ameena, aku akan jadikan sebuah memori dan yang akan jadi topik merapu untuk kami berdua setiap masa," tulisnya.

Shakilla juga tidak kisah bila orang bercakap mengenai setiap 'posting' yang dibuatnya di laman sosial.

"Sebab IG aku bukan 'negara' yang ada syarat atau undang-undang.

"Aku nak post perjalanan hidup aku dengan anak aku. 

"Empat tahun aku hidup dengan Ameena, aku dapat rasa cinta dan sayang yang orang selalu katakan. 

"Tak boleh berjauhan. Rindu yang menyeksakan. Alhamdulillah, aku dapat rasa sekarang sebab aku yakin dan pasti ini cinta yang ikhlas dan jujur sepanjang hidup aku, selain mak dan abah aku," tulisnya.

Dalam perkongsiannya lagi, kata Shakilla, dia tidak mahu Ameena terkesan dengan kesalahan dan kesilapannya dengan bekas suaminya itu.

 "Aku tak nak dia jadi budak yang tertekan dengan pergaduhan dan reaksi muka ibu bapa dia setiap kali bertentang mata.

" Banyak usaha yang aku cuba buat untuk Ameena rasa gembira tapi aku akur dan hormat bila ada yang tak setuju dengan cadangan aku.

"Tapi aku ok je lah sebab Allah bagi aku banyak kelebihan lain yang buat aku mampu untuk teruskan perjalanan  hidup aku dengan Ameena dengan cinta dan sayang yang kami cipta," tulisnya.

Kata Shakilla lagi, dia dan bekas suaminya, Fizi bukanlah orang yang tidak bertanggung-jawab. 

"Jadi perlu hormat dan faham situasi ini. Yang kami berdua ada hati yang perlu dijaga dan disayang.

"Perlu fokus dan pastikan takkan putus kasih dan sayang itu sampai bila-bila, Jadi silalah hormat keadaan ini. Jangan selfish (pentingkan diri) atau rampas hak Ameena sebab dia tak layak untuk disakiti,"tulisnya.

Shakilla berkata, dia juga berkongsi semua itu di IG untuk semua orang buka mata dengan keadaan yang dilaluinya itu.

"Hidup bukanlah untuk kita bazirkan dengan air mata atau rasa dendam dan sakit hati yang tidak ada penghujung.

"Semoga Allah temukan kebahagiaan yang kita semua cari dan perlukan dalam sisa hidup kita atas dunia,"tulisnya lagi.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen dari Fizi tidak berjaya kerana panggilan dan WhatsApp tidak dibalas.

Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Ameena Sofia.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 8:20 PM