Shakilla Khoriri.
Shakilla Khoriri.

Kuala Lumpur: "Hidup aku, nyawa aku, ini yang paling mahal (anak). Dengan nama anak aku, aku tak ada 'mandrem' (sihir) orang," kata pelakon Shakilla Khoriri, 34, selepas didakwa menjadi penyebab seorang lelaki yang juga suami orang tak boleh meneruskan hidup atau 'move on' kerana terpaut cintanya.

Shakilla berkata, dia berhadapan kecaman teruk apabila isu mengaitkan dirinya yang berstatus janda itu berkasih dengan suami orang timbul, termasuk dilemparkan pelbagai fitnah tidak berasas.

"Kalau rasa aku ini 'mandrem' suami orang, pergilah berubat. Aku tak akan lari. Kalau betul aku buat lelaki ini, dia dah terkena benda-benda kotor yang kononnya aku buat, jumpa aku. Beri bukti.

"Jangan senang cakap. Pasal orang perli-perli, aku tahu," katanya yang ditemubual Melodi TV3 berhubung dakwaan itu, termasuk dikatakan menjadi punca pada kegagalan rumah tangganya, dua tahun lalu.

Shakilla berkata, mengenai gambar-gambar 'mesra' dia dan lelaki itu yang tersebar adalah gambar lama ketika mereka rapat dan individu terbabit pada ketika itu sudah bercerai dengan isterinya.

"Kami memang pernah rapat ketika dia sudah pun bercerai. Tapi, apabila mereka buat keputusan untuk bersama semula (rujuk), saya dan lelaki itu terus tidak berhubung lagi.

"Sehinggalah kami terbabit dengan urusan kerja semula bersama rakan-rakan yang lain. Hubungan itu atas urusan kerja saja," katanya turut mendedahkan pernah dilamar isteri lelaki terbabit untuk bermadu.

Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri berkata, dia menolak tawaran itu kerana dia tidak boleh hidup bermadu.

Katanya, dia juga tidak pernah meletakkan syarat supaya lelaki itu menceraikan isterinya.

"Siapa yang cakap aku 'mandrem' suami orang, aku takkan maafkan orang itu sampai aku mati. Kecuali, engkau datang jumpa aku, engkau minta maaf pada mak bapak aku.

"Aku memang pun tak pernah sampai nak buat benda-benda salah (sihir) disisi Allah. Engkau ingat aku ini apa, dah tak ada agama sangat ke? Aku ada agama," katanya.

Shakilla berkata, dia juga sudah menyerahkan hal fitnah terhadapnya itu kepada pihak peguam dilantik untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menghantar emel berhubung dakwaan itu.

"Saya masih ada hati dan perasaan untuk penghantar emel terbabit diberikan masa untuk muncul dan tampil memohon maaf. Sekiranya masih tidak berbuat demikian (permohonan maaf), tunggu surat daripada peguam saya," katanya.

Shakilla sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 6:01 PM