PEMAIN Perancis meraikan gol pertama dihasilkan Kylian Mbappe. FOTO Agensi
PEMAIN Perancis meraikan gol pertama dihasilkan Kylian Mbappe. FOTO Agensi
AFP

Berlin, Jerman: Perancis mensia-siakan peluang untuk menjuarai Kumpulan D selepas tetikat 1-1 dengan Poland dalam aksi terakhir kumpulan yang menyaksikan Austria menamatkan kedudukan di tangga pertama selepas menumbangkan Belanda.

Bagaimanapun pengendali Perancis, Didier Deschamps tetap berpuas hati dengan menganggap kempen anak buahnya dalam saingan Euro 2024 sebenarnya baharu bermula selepas mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik di belakang Austria.

"Kami sudah berjaya mencapai objektif pertama kami (melepasi peringkat kumpulan).

"Walaupun kami tidak menamatkan aksi di tangga pertama di mana ia sasaran awal pasukan, tetapi kami tetap berjaya melangkah ke peringkat berikutnya.

"Bagi saya, perjalanan kami baharu sahaja bermula dan kami perlu tampil lebih baik lagi selepas ini," kata Deschamps.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama dengan Perancis menguasai permainan.

Gol yang dicari akhirnya terhasil pada babak kedua selepas Perancis dihadiahkan sepakan penalti apabila Ousmane Dembele dijatuhkan pertahanan Poland dalam kotak penalti.

Kylian Mbappe yang bakal menyertai Real Madrid musim depan tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Perancis 1-0 di depan pada minit 56.

Kelebihan itu kemudiannya dipadam penyerang berpengalaman, Robert Lewandowski yang memanfaatkan sepakan penalti pada minit 79 yang gagal ditepis Mike Maignan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:45 AM