DENMARK mara selaku pasukan di tempat kedua Kumpulan D. -FOTO Reuters
DENMARK mara selaku pasukan di tempat kedua Kumpulan D. -FOTO Reuters
AFP

Munich, Jerman: Pemain pertahanan Denmark, Jannik Vestergaard memberi sokongan penuh kepada pasukannya menjelang aksi pertemuan 16 terakhir awal pagi Ahad ini menentang tuan rumah Euro 2024, Jerman, dengan berkata "segalanya adalah mungkin."

Denmark mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan Serbia di Munich awal pagi tadi tetapi layak selaku pasukan di tempat kedua dalam kumpulan selepas perlawanan Kumpulan C England-Slovenia berakhir dengan keputusan yang sama.

Slovenia dan Denmark meraih jumlah mata, gol, bantuan gol malah rekod disiplin yang sama namun Denmark mara ke pusingan kalah mati berdasarkan ranking kedudukan yang lebih tinggi.

Keputusan itu membawa Denmark yang sebelum ini mara ke separuh akhir akan berdepan tuan rumah, Jerman yang juga diletakkan sebagai pasukan pilihan di Dortmund awal pagi Ahad ini.

"Semuanya mungkin.

"Jerman adalah pasukan yang kuat. Kami memerlukan persembahan yang sangat kuat dan untuk menghalang Jerman daripada menunjukkan prestasi terbaik mereka," kata Vestergaard.

Bersama Sepanyol, Jerman memenangi Euro sebanyak tiga kali tetapi tewas di perlawanan akhir pada edisi 1992 di Sweden kepada Denmark, satu-satunya kejayaan Denmark menjulang trofi itu.

Jurulatih Denmark Kasper Hjulmand menggelar Jerman "salah satu pilihan" di kejohanan itu tetapi berkata dia "mempunyai perasaan yang baik mengenai perlawanan itu."

"Bagi Denmark tidak ada yang lebih baik selain bermain menentang Jerman (di Dortmund). Mereka adalah pasukan hebat tetapi kami juga adalah pasukan hebat dan apabila kami bermain dengan negara besar, prestasi kami selalu meningkat," kata pengendali berusia 52 tahun itu.

Pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen, dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam penampilan ke-133nya bersama Denmark, menjadikan ia sebagai rekod penampilan sepanjang zaman.

"Menjadi pemain terbaik perlawanan, menjadikan saya lebih bersemangat," kata Eriksen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:46 AM