Kuala Lumpur: Pelakon, Shakilla Khoriri mengucapkan terima kasih atas doa orang ramai selepas dia dan suami, Fizi Ali disahkan bercerai pada Rabu lalu.

Shakilla berkata, amanah besar yang dikurniakan Allah kepadanya iaitu anak mereka, Ameena Sofia akan dijaga sebaik mungkin.

"Terima kasih semua atas doa kalian. Kembali ke titik asal. Tapi, kali ini, Allah bagi amanah besar untuk saya jaga. 

"Semoga Allah pinjamkan sedikit kekuatan untuk saya sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki," katanya.

Shakilla menerusi hantaran di Instagram turut berkongsi keterangan ringkas yang nadanya agak mencuit hati mengenai Ameena dan perancangan kewangannya sebagai ibu. 

"Budak ini (Ameena) 'high maintenance. Bukan permintaan dia, tapi mak dia. 70 peratus gaji untuk dia saja," tulisnya yang disertakan dengan emoji ketawa. 

Hantaran itu turut diiringi dengan gabungan video kenangan antara dia dengan Ameena yang kini berusia dua tahun. 

Penuh emosi, ruangan komen dihujani dengan komen-komen positif serta kata-kata semangat daripada rakan-rakan artis serta peminatnya. 

Terdahulu Fizi mengejutkan ramai apabila mendedahkan sudah bercerai dan memilih untuk membawa haluan berbeza.

Fizi menjelaskan biarpun sudah hidup berasingan, dia dan Shakilla bersepakat untuk membesarkan anak mereka, Ameena dengan penuh kasih sayang.

Fizi dan Shakilla berkahwin pada 18 Februari 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 12:14 PM