Fizi bersama anak perempuannya, Ameena Sofia.
Fizi bersama anak perempuannya, Ameena Sofia.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio, Fizi Ali, 32, bersyukur apabila dia dan bekas isterinya yang juga pelakon Shakilla Khoriri, 32, bersetuju untuk menjaga anak tunggal mereka, Ameena Sofia secara harmoni dan adil.

Fizi berkata, beberapa bulan sebelum mereka nekad berpisah dia ada bertemu dengan keluarga Shakilla untuk membincangkan urusan hak penjagaan anak.

"Tipulah kalau saya katakan hidup saya tidak sunyi selepas episod perceraian. Sebelum ini setiap hari saya hadap muka Ameena di rumah dengan telatah dan aksi manjanya itu, tapi sekarang Ameena terpaksa tinggal berjauhan dengan saya untuk beberapa hari kerana perlu tinggal bersama ibunya.

"Sebenarnya urusan penjagaan anak memang tiada masalah sebab sebelum bercerai saya memang sudah membincangkan perkara ini dengan Shakilla dan keluarganya supaya lebih jelas.

"Kami tidak meletakkan waktu yang spesifik untuk bersama Ameena. Apa yang kami putuskan adalah kalau Ameena bersama ibunya pada hari bekerja, saya akan menjaganya pada hujung minggu dan begitu juga sebaliknya. Malah kalau saya ingin membawanya ke mana-mana pun tiada sebarang masalah,"katanya.

Terdahulu, Fizi menerusi hantaran di Instagram Story meluahkan rasa rindu terhadap anak perempuannya itu apabila terpaksa tinggal berjauhan untuk beberapa hari.

Menurut Fizi, dia mengakui kehidupan selepas bercerai sememangnya tidak mudah, namun dia terpaksa akur apabila rumah tangganya tidak dapat diselamatkan lagi.

"Apa yang berlaku ini bukan sesuatu yang dirancang sebaliknya memang sudah tiada jodoh. Berpisah adalah jalan terbaik untuk kami berdua. Saya ada menghubungi Shakilla apabila membabitkan hal anak. Namun, untuk berbincang mengenai membaiki hubungan buat masa ini belum ada lagi.

"Lagipun sekarang ini saya nak beri ruang untuk diri sendiri dan memberi tumpuan kepada Ameena terlebih dahulu. Walaupun pada mulanya saya akui hilang arah apabila tinggal berseorangan di rumah, tapi saya cuba memenuhi hari dengan sebaik mungkin.

"Saya kini sudah mula aktif ke pusat gimnasium dan melakukan aktiviti sukan seperti bermain bola sepak. Sekurang-kurangnya apabila saya sibukkan diri dengan kerja dan aktiviti berfaedah saya boleh melupakan masalah yang berlaku atau rasa menyesal yang terbit dalam diri," katanya.

Fizi berkahwin dengan Shakilla, 32, pada 18 Februari 2018 dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun.

Bagaimanapun pasangan selebriti ini mengambil keputusan berpisah di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat, Selangor pada 15 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:48 PM