Fizi bersama anaknya, Ameena Sofia.
Fizi bersama anaknya, Ameena Sofia.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 34, kini menyerahkan kepada peguamnya untuk melakukan siasatan lanjut selepas tidak dapat bertemu dengan anak perempuannya, Ameena Sofia pada majlis graduasi prasekolah kanak-kanak itu.

Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin, 34, berkata, dia sudah mendapatkan nasihat daripada peguamnya bagi tindakan undang-undang yang mahu diambil dan atas sebab itu tidak dapat mengulas mengenainya.

"Saya akan bawa ke muka pengadilan, tapi minta maaf saya tidak boleh memberi komen lanjut buat masa ini sebab bimbang akan mengganggu siasatan.

"Malah, pihak peguam juga menasihatkan agar saya tidak bercakap dan berkongsi banyak mengenai perkara ini dan bila tindakan lanjut itu akan saya maklumkan kemudian," katanya.

Menerusi hantaran Instagram miliknya, Fizi meluahkan perasan kesal apabila dia tidak dapat berjumpa anaknya, Ameena di hari graduasi prasekolah yang berlangsung di Cyberjaya, semalam.

"Saya pergi ke sana, masuk ke dewan dan tunggu majlis berlangsung. Memang anak saya tiada di sana dan juga langsung tidak dapat menghubungi dia," katanya.

Fizi berkata, dia juga bertindak cuba menghubungi anaknya menerusi bekas isteri juga pelakon, Shakilla Khoriri dan panggilan tidak berjawab, begitu juga panggilan dan pesanan WhatsApp dikirim tiada balasan.

Terdahulu, Fizi hadir membawa jambangan bunga buat Ameena pada majlis graduasi itu, namun sehingga majlis tamat, kelibat Ameena tidak kelihatan dan ia membuatkan dirinya sebagai bapa ralat kerana tidak dapat menonton persembahan Ameena.

Fizi pernah bernikah dengan Shakilla pada 18 Januari 2018 dan sah bercerai pada Disember 2021.

Namun, pada 23 Oktober lalu Fizi selamat mendirikan rumah tangga kali kedua dengan wanita pilihan, Siti Zulaikha.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 4:59 PM