Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Doakan saya baik-baik ya," kata penyampai radio Suria FM, Fizi Ali yang mengesahkan sudah bercerai dengan isterinya, pelakon, Shakilla Khoriri, 32, semalam.

Fizi, 32, atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin berkata, dia juga memohon doa orang ramai agar terus kuat semangat untuk bekerja seperti biasa.

"Saya akan kuat. Saya akan fokus pada anak dan masa depan," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Fizi menerusi hantaran di Instagram Story berkata, tidak ada sesorang pun yang inginkan perpisahan dalam perkahwinan yang dibina.

"Tidak ada seorang pun manusia dalam dunia ini mahukan perpisahan. Kalau terjadi mesti sesuatu yang tak dapat dielakkan atau sudah berfikir panjang.

"Apa pun terima kasih atas doa semua. Doakan saya kuat semangat untuk bekerja seperti biasa," katanya.

Terdahulu Fizi mengejutkan ramai apabila mendedahkan sudah bercerai dan memilih untuk membawa haluan berbeza.

Fizi menjelaskan biarpun sudah hidup berasingan, dia dan Shakilla bersepakat untuk membesarkan anak mereka, Ameena dengan penuh kasih sayang.

Fizi dan Shakilla berkahwin pada 18 Februari 2018 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 11:25 AM